suria

Pemain Senior Dipanggil Bagi Mantap Skuad Olimpik Hadapi Chelsea

KUALA LUMPUR: Kehadiran sembilan pemain senior termasuk lima bekas pemain kebangsaan dijangka akan memantapkan skuad Olimpik Malaysia dalam menghadapi kelab ternama Liga Perdana Inggeris (EPL), Chelsea, Khamis ini.

Jurulatih pasukan Olimpik, Ong Kim Swee berkata pengalaman pemain senior seperti Hairudin Omar, Farizal Marlias (N.Sembilan), Amri Yahyah (Selangor), S.Subramaniam (Kelantan) dan Shahrulnizam Mustapha (Perak) dapat membimbing pemain muda untuk beraksi dengan baik dan tidak gugup.

"Saya berharap keserasian antara mereka akan lebih baik pada hari perlawanan Khamis ini. Semua pemain yang dpanggil akan diberi peluang untuk beraksi pada perlawanan persahabatan itu," katanya kepada pemberita, di sini Isnin.

"Saya juga melihat ada dua tiga orang bekas pemain kebangsaan yang dipanggil kali ini juga masih berpeluang untuk mewakili pasukan kebangsaan pada bila-bila masa," katanya.

Pasukan Olimpik Malaysia dipilih untuk bertemu Chelsea bagi memberi peluang kepada skuad kebangsaan bimbingan Datuk K. Rajagobal memberi tumpuan kepada perlawanan pusingan kelayakan Piala Dunia 2014 Zon Asia menentang Singapura di republik tersebut pada Sabtu ini.

Skuad Olimpik Malaysia:

Abdul Shukor Jusoh, Gary Stevan Robbat, Izzaq Faris Ramlan, Mohamad Amer Saidin, Mohd Affize Faisal Mamat, Mohd Fandi Othman, Mohd Ferris Daniel Mat Nasir, Mohd Irfan Fazail, Mohd Izham Tarmizi, Muhammad Zamir Selamat, Nazirul Naim Che Hashim, K. Sasikumar, Syahrul Azwari Ibrahim, A.Thamil Arasu, Wan Zack Haikal Wan Nor, Wan Zaharulnizam Wan Zakaria, Muhammad Nazmi Faiz, Muhammad Syazwan Tajuddin.

Pemain Jemputan:

Mohd Izuan Solahuddin (Kelantan), Mohd Zubir Mohd Azmi (Terengganu), Mohamad Faizal Abu Bakar (Kedah), Mohd Syazwan Mohd Roslan (Perak), Mohd Rozaimi Abd Rahman (Sabah), Mohd Syazwan Zainon, Azrul Azmi (Felda United), Ahmad Hazwan Bakri (Kuala Lumpur), Famirul Asraf Sayuti (Pahang), Mohd Azrif Nasrulhaq, Mohd Khairul Akhyar (PKNS). - BERNAMA

Artikel Lain