suria

Perak Cari Pemain Skuad Piala Malaysia

IPOH: Perak akan menguji lapan pemain baru untuk menyarung jersi Seladang bagi menghadapi cabaran Piala Malaysia yang dijadualkan bermula September ini.

Lapan pemain yang dipanggil menjalani ujian itu merupakan pemain penyerang, tengah dan sayap yang mana amat diperlukan oleh Perak, kata Presiden Persatuan Bolasepak Perak (Pafa), Datuk Zainol Fadzi Paharudin.

"Perak tidak menghadapi masalah di bahagian pertahanan dan juga tengah kerana barisan pemain yang sedia ada ternyata berwibawa," katanya.

Beliau berkata kesemua pemain yang dipanggil itu adalah dari pasukan yang gagal beraksi dalam persaingan Piala Malaysia.

"Perak memerlukan sekurang-kurangnya tiga pemain untuk diserapkan dalam skuadnya bagi memantapkan pasukan untuk mengharungi saingan sengit Piala Malaysia," katanya. "Ujian berkenaan akan dikendalikan oleh jurulatih Norizan Bakar dan beberapa pegawai Pafa yang lain bagi ketajaman jentera serangannya dalam saingan Piala Malaysia nanti," katanya.

Skuad bimbingan Norizan Bakar itu berdepan masalah ketumpulan serangan pada babak akhir Liga Super yang lalu dan ia disebut sebagai punca kegagalan pasukan itu mencapai matlamat untuk menduduki tangga lima teratas.

Perak hanya mampu menduduki tangga keenam walaupun pada pertengahan musim ia berada dalam kelompok teratas.

Perak kehilangan dua penyerang utamanya apabila kontrak Razali Umar Kandasamy ditamatkan pada 1 Jun lalu kerana masalah disiplin dan Akmal Rizal Ahmad Rakhli yang terpaksa berehat panjang akibat kecederaan. -BERNAMA

Artikel Lain