suria

Peniaga Bantah Anjur Kejohanan Cub Prix

ALOR SETAR: Lebih 100 penyewa gerai dan peniaga bazar malam Stadium Darul Aman (SDA) di sini, membantah penganjuran kejohanan Cub Prix AAM Malaysia Petronas yang didakwa menjejaskan perniagaan mereka setiap kali kejuaraan itu berlangsung di bandaraya ini.

Pengerusi Persatuan Penyewa-penyewa Gerai SDA, Jafree Don mendakwa mereka kerugian sehingga RM1 juta apabila laluan ke gerai-gerai sekitar stadium itu ditutup sekurang-kurangnya lima hari.

"Penutupan beberapa jalan utama di sekitar stadium seperti jalan Stadium, Lebuhraya Darul Aman dan jalan Bakar Bata menjejaskan pergerakan lalu lintas dan kesesakan yang teruk menyusahkan orang ramai," katanya kepada pemberita di sini.

Jafree mendakwa surat bantahan telah dihantar ke Pejabat Menteri Besar pada Mac lalu, namun tiada sebarang maklum balas diterima sehingga kini.

Sehubungan itu, Jafree berkata satu memorandum bantahan akan dihantar kepada Kerajaan Negeri bagi membantah penganjuran kejohanan terbabit secepat mungkin. Memorandum itu ialah bagi meminta supaya kejohanan yang dijadual berlangsung di sekitar SDA dibatalkan, memindahkan venue kejohanan ke lokasi lain selain mensyaratkan penaja membayar pampasan kepada semua peniaga terlibat.

Kejohanan Cub Prix AAM Malaysia Petronas 2011 pusingan keenam dijadualkan berlangsung pada 22 dan 23 Julai ini.

Ia kali ketiga diadakan di sekitar SDA dan Alor Setar selain diberi penghormatan selaku gelanggang pembuka tirai sejak dua musim lalu.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Kesenian, Warisan dan Kebudayaan, Datuk Dr Hamdan Mohamed Khalib berkata kerajaan negeri bersedia berbincang dengan persatuan bagi menyelesaikan masalah itu.

Katanya para peniaga tidak perlu bimbang kerana premis perniagaan hanya ditutup selama dua hari iaitu pada hari perlumbaan.

"Saya lihat ianya tidak mendatangkan masalah kepada peniaga-peniaga di sini kerana orang ramai dan mereka yang terlibat dalam persediaan litar perlumbaan boleh mengunjungi kedai makanan walaupun jalan ditutup.

"Saya fikir ini merupakan satu program terbaik untuk golongan belia di negeri ini yang ketandusan program untuk belia," kata Hamdan ketika dihubungi Bernama di sini, Isnin.

Mengenai litar perlumbaan pada tahun depan, beliau berkata pihaknya masih mengkaji bantahan peniaga memandangkan litar SDA merupakan kawasan yang paling strategik. -BERNAMA

Artikel Lain