suria

Program Klinik Hoki Pintar TNB Dijangka Lahirkan Ramai Pemain Kebangsaan

KUALA TERENGGANU: Lebih ramai pemain hoki kebangsaan dijangka dilahirkan melalui klinik hoki program Pintar Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Penolong jurulatih hoki TNB Lailin Abu Hassan berkata ini kerana ramai pelatih program itu terpilih mewakili negeri pada kejohanan hoki bawah 12 tahun.

"Kita telah mulakan klinik hoki Pintar TNB ini tiga tahun lalu, dan hasilnya kita sudah dapat lihat sekarang," katanya kepada Bernama selepas mengendalikan klinik itu di Stadium Hoki Batu Buruk, Ahad.

Lailin, yang juga bekas pemain hoki kebangsaan, berkata TNB mengadakan klinik itu untuk memberi kemahiran asas yang betul kepada pemain.

Katanya, mereka yang terpilih menyertai klinik itu mempunyai bakat dan potensi menjadi pemain berkaliber, jika diberi latihan sistematik.

Beliau berkata setakat ini, terdapat 24 sekolah angkat TNB yang terlibat dengan program klinik hoki pintar.

"Setakat Julai, klinik hoki ini telah berjaya dianjurkan di 19 buah sekolah di seluruh negara," katanya.

Lailin berkata TNB sentiasa memantau pemain hoki di bawah program Pintar bersama guru sekolah masing-masing agar mereka terus aktif dan mendapat latihan serta bimbingan.

Beliau berkata klinik sehari di Terengganu hari ini disertai 80 pelajar empat sekolah kebangsaan, dan ia merupakan klinik terakhir untuk 2011.

"Tahun depan kita akan sambung lagi, dan kita akan pergi ke negeri-negeri untuk memberi tunjuk ajar kepada murid-murid mengenai permainan hoki," katanya.- BERNAMA

Artikel Berikut