suria

KLBA Dapat Tajaan Li Ning

KUALA LUMPUR: Persatuan Badminton Kuala Lumpur (KLBA) menjadi persatuan negeri pertama yang menandatangani perjanjian penajaan dengan syarikat pengeluar barangan sukan dari China, Li Ning.

Presiden KLBA Datuk Mohamad Norza Zakaria berkata penajaan dua tahun itu adalah berupa set pakaian dan peralatan termasuk raket dan beg kepada semua anggota pasukan elit dan pelapis persatuan itu.

Beliau, bagaimanapun, enggan menyatakan jumlah nilai keseluruhan penajaan tersebut.

"Penajaan ini akan membawa KLBA ke satu era baru dan kami harap dapat melahirkan lebih ramai pemain handalan seperti Zulfadhli Zulkifli, di samping terus membangunkan badminton di peringkat akar umbi," katanya dalam satu sidang media di sebuah hotel di sini Sabtu.

Turut hadir Naib Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Datuk Mohamed Al-Amin Abdul Majid dan 60 pemain KLBA yang terdiri daripada kanak-kanak dan remaja.

Selain itu, Mohamed Al-Amin berkata BAM akan mengkaji semula jadual para pemain di bawah badan induk itu yang mungkin terlalu ketat sehingga mendedahkan pemain kepada risiko kecederaan.

"Kita perlu melihat semula program yang disusun untuk para pemain, adakah terlalu ketat dan cuba mencari keseimbangan di antara kejohanan yang menjadi keutamaan dengan kejohanan di peringkat nasional," katanya.

Beliau berkata demikian setelah diminta mengulas penarikan diri pemain nombor satu dunia Datuk Lee Chong Wei daripada Kejohanan Terbuka Kedah di Alor Setar semalam.

Chong Wei, yang telah menyertai tujuh kejohanan sepanjang tahun ini, dilaporkan menarik diri akibat kecederaan di bahagian belakang badan.

Meskipun kecederaan tersebut tidak serius Chong Wei dinasihatkan berehat bagi membolehkan beliau pulih sepenuhnya sebelum menghadapi Kejohanan Dunia di London bulan depan.- BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain