suria

Khairulnizam Baiki Kedudukan Pada Kejohanan Dunia

LANGKAWI: Pelayar elit, Khairulnizam Mohd Afendy berjaya memperbaiki kedudukan dengan berada di tangga keempat pada Kejohanan kapal layar remaja dunia yang sedang berlangsung di Croatia.

Pengurus Besar Persatuan Pelayaran Malaysia (MYA), Mohd Afendy Abdullah berkata, Khairulnizam memberi persaingan baik kali ini berbanding tahun lepas ketika beliau hanya mampu berada pada kedudukan ketujuh dunia.

"Diharap ramalan cuaca esok menepati dengan kelajuan angin melebihi 15 knot, untuk beliau terus memperbaiki kedudukan," katanya menerusi e-mel kepada Bernama di sini Sabtu.

Beliau berkata jika Khairulnizam berjaya esok, ia merupakan kejayaan paling cemerlang dalam sejarah pelayaran negara.

Katanya kejayaan itu juga boleh menaikkan semangat beliau untuk mencapai kejayaan seterusnya pada kejohanan dunia di Perancis minggu depan sebelum meneruskan cabaran di 'Olympic Test Event' awal bulan depan.

"Adiknya, Khairunneeta yang turut bertanding dalam kelas LASER Radial wanita membuat pelayaran cemerlang semalam dengan menamatkan dua perlumbaan pada kedudukan kelapan dan keempat," kata Mohd Afendy.

Artikel Berikut

Artikel Lain