suria

Nicol, Azlan Ungguli Kejohanan Skuasy Kebangsaan

KUALA LUMPUR: Ratu skuasy negara Datuk Nicol Ann David tidak diberi tentangan sengit apabila dengan mudah mempertahankan gelaran Kejohanan Skuasy kebangsaan 2011 di sini Isnin.

Pemain nombor satu dunia itu mengalahkan pemain ranking ke-23 dunia, Delia Arnold, 11-4, 11-9, 11-6 pada perlawanan akhir di Pusat Skuasy Nasional Bukit Jalil di sini.

Bagi Nicol, kejohanan itu merupakan ‘pemanas badan’ sebelum beraksi pada Kejohanan Terbuka Malaysia bermula 18 Julai ini.

Katanya kemenangan dua set pertama memberi kelebihan kepadanya dan beliau berjaya mematahkan usaha Delia untuk bangkit pada set terakhir.

"Delia menampilkan persembahan terbaiknya untuk menentang saya dan saya pasti dia akan lebih yakin dan mantap selepas ini," kata Nicol selepas perlawanan tersebut.

Dalam saingan lelaki, pemain nombor 10 dunia, Mohd Azlan Iskandar turut mempertahankan kejuaraan apabila menewaskan Ong Beng Hee (ranking 29 dunia) 11-7, 11-5, 13-11.

Meskipun Ong memberi tentangan hebat pada set ketiga dan berjaya membawa permainan hingga ke kedudukan 11-11, kemenangan akhirnya memihak kepada Mohd Azlan hasil kesilapan Ong memukul bola di luar gelanggang.

Nicol dan Mohd Azlan masing-masing membawa pulang wang tunai RM4,000 berserta piala. - BERNAMA

Artikel Berikut

Cole Milik Stoke City

Artikel Lain