suria

KBS Tidak Halang Atlet Wanita Islam Tutup Aurat Sertai Kejohanan

KUALA LUMPUR: Kementerian Belia dan Sukan tidak mempunyai halangan sekiranya terdapat mana-mana atlet wanita beragama Islam yang ingin mengenakan pakaian menutup aurat ketika menyertai sebarang kejohanan termasuk di peringkat antarabangsa.

Menteri berkenaan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata kejayaan telah dicipta oleh dua atlet menembak kebangsaan, Nur Suryani Mohd Taibi serta Nur Ayuni Farhana Abdul Halim meraih emas acara menembak 10 meter air rifle berpasangan wanita pada Sukan Komanwel di India tahun lepas.

"Dalam keadaan menutup aurat dan bertudung telah membuktikan bahawa pakaian bukan penghalang kepada atlet Malaysia untuk berjaya.

"Kejayaan juga telah berjaya diraih oleh pelari pecut wanita Bahrain, Ruqaya Al Ghasara apabila meraih pingat emas dalam acara 200 meter walaupun berpakaian menutup aurat dan bertudung pada Sukan Asia 2006 di Doha, Qatar," katanya pada persidangan Dewan Negara di sini, Khamis.

Beliau menjawab pertanyaan Senator Mumtaz Md Nawi mengenai rasional pemakaian atlet wanita yang kebiasaannya mendedahkan aurat berbanding atlet lelaki.

Ahmad Shabery berkata kementeriannya dan Majlis Sukan Negara (MSN) tidak mempunyai kuasa untuk menentukan pakaian atlet kerana kebanyakannya ditentukan oleh badan sukan dunia masing-masing atau atlet itu sendiri.

Sebagai contoh, katanya, acara sukan bina badan atau seni mempertahankan diri tertentu yang memerlukan mereka berpakaian mengikut ketetapan masing-masing.

"Selain dari itu, tiada halangan jika atlet memilih pakaian yang dirasakan sesuai mengikut kepercayaan masing-masing dan akhirnya mereka dapat memberi prestasi baik," katanya.

Menjawab soalan Senator Datuk Mohd Najeeb Abdullah mengenai peraturan baru yang mewajibkan semua pemain badminton wanita memakai skirt pendek oleh Persekutuan Badminton Dunia (BWF) terutama pada Sukan Olimpik London 2012, Ahmad Shabery berkata sehingga kini masih belum ada sebarang keputusan sama ada peraturan itu dikekalkan atau sebaliknya.

"Kita dapati banyak negara membantah keputusan itu dengan beberapa negara yang tertentu masih lagi membenarkan atlet mereka mengenakan pakaian yang lebih panjang. Jadi, setakat ini masih belum ada keputusan mengenainya.

"Di negara kita, ia masih lagi belum menjadi isu yang besar kerana setakat ini tiada tanda-tanda terdapat atlet badminton wanita Muslim yang akan bertanding di sana," katanya. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain