suria

Tottenham Pilih Malaysia Sebagai Pangkalannya di Asia

PETALING JAYA: Malaysia dipilih sebagai pangkalan Kelab Liga Perdana Inggeris (EPL), Tottenham Hotspur dalam meningkatkan program pembangunan bola sepaknya di rantau Asia.

Duta kelab berkenaan, Gary Mabbutt berkata program yang dijalankan dengan usaha sama syarikat Football Focus Asia itu, akan menggilap pemain bola sepak berpotensi di negara ini dan juga Asia.

"Menerusi program ekstensif ini, yang bakal membawa jurulatih Tottenham ke Malaysia, bola sepak akan dibangunkan setaraf standard EPL, dari peringkat akar umbi, bagi menjana kejayaan sukan berkenaan di Malaysia bagi tahun-tahun akan datang.

"Alangkah bagusnya jika kita dapat menyaksikan rakyat Malaysia yang pertama beraksi dalam EPL dan bermain untuk Tottenham," katanya kepada pemberita selepas melancarkan program Tottenham Hotspur Membangunkan Bola Sepak Malaysia di sini, Selasa.

Mabbutt, 50, yang merupakan pemain legenda 'The Spurs' serta bermain dalam lebih 600 perlawanan antara 1982 dan 1998, berkata Malaysia dipilih kerana kelab itu menyedari terdapat bakat yang berpotensi di negara ini.

"Di Malaysia, British International School Kuala Lumpur (BSKL) merupakan antara institusi pertama di rantau Asia yang membezakan dirinya daripada yang lain dengan menawarkan pengalaman akademi terbaik di dunia kepada pelajar.

"Kami berharap program pembangunan ini dapat diperluas ke Hong Kong dan Singapura selepas ini bagi mencari bakat baru untuk digilap sebagai bintang bola sepak," katanya.

Bagi memperbaiki mutu bola sepak Asia di peringkat akar umbi, Mabbutt berkata program pembangunan itu tidak hanya berpusat di England, malah akan dibawa ke Malaysia dan Asia.

Akademi Tottenham akan beroperasi secara rasmi pada 21 Julai ini dan terbuka kepada individu, pasukan serta jurulatih.

Ia menawarkan satu peluang hebat kepada pemain bola sepak Asia yang berusia lingkungan 10 dan 18 tahun, bagi merasai pengalaman latihan profesional pada tahap tertinggi.

Peserta bukan sekadar mempelajari aspek fizikal latihan dan permainan, malah mereka akan diberi panduan berguna seperti psaikologi bermain dalam EPL, selain keperluan diet serta nutrisi.

Pada EPL musim 2010/2011, Tottenham berada di tempat kelima di belakang Arsenal dan di depan Liverpool. -BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain