suria

Rajagobal Mahu Anak Buah Manfaat Perlawanan Bertemu Arsenal,Liverpool

SEPANG: Perlawanan persahabatan menentang dua kelab gergasi Liga Perdana Inggeris (EPL) iaitu Arsenal dan Liverpool akan menjadi medan persiapan buat skuad Harimau Malaya sebelum bertemu Singapura untuk pusingan kelayakan kedua Piala Dunia 2014 bagi Zon Asia.

Perlawanan pertama dengan Singapura akan berlangsung di negara itu pada 23 Julai sementara perlawanan timbal-balik di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 28 Julai.

Skuad bimbingan Datuk K. Rajagobal akan bertemu Arsenal pada 13 Julai dan Liverpool tiga hari kemudian.

"Skuad negara sebenarnya bertuah dapat bertemu dua pasukan EPL. Dua perlawanan persahabatan ini sudah cukup untuk kita memikirkan persiapan sebelum menentang Singapura.

"Ia merupakan satu persiapan yang baik buat pasukan negara di mana saya akan memberi peluang kepada pemain-pemain mempamerkan yang terbaik untuk dipilih dalam kesebelasan utama nanti.

"Saya mahu semua pemain mempamerkan tahap kecergasan dan fizikal terbaik," katanya kepada pemberita selepas tiba dari Taiwan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, Isnin.

Malaysia berjaya melayakkan diri ke pusingan kedua sekalipun kalah 2-3 kepada Taiwan di Stadium Taipei malam tadi yang membawa kepada agregat 4-4 menerusi peraturan kelebihan gol di tempat lawan.

Dalam perlawanan pertama skuad negara mengalahkan Taiwan 2-1 di Stadium Nasional Bukit Jalil Rabu lepas.

Rajagobal berkata beliau tidak mahu anak didiknya mengulangi kesilapan yang mudah seperti perlawanan menentang Taiwan malam tadi apabila bertemu dua kelab EPL itu.

Beliau mahu dua perlawanan itu dimanfaatkan skuad negara selain mencari resepi memperbaiki barisan pertahanan dan tengah yang dilihat kurang mantap semasa menentang Taiwan.

"Walaupun saya tidak berpuas hati dengan permainan yang dipamerkan, secara keseluruhannya perlawanan malam tadi sebenarnya bukanlah kita bermain dengan teruk, cuma pemain di barisan pertahanan saya tidak fokus dan berhati-hati.

"Gol ketiga menerusi sepakan penalti telah memberikan tekanan buat negara untuk menang di sana dengan mencari gol penyamaan dan sekaligus melemahkan moral dan semangat pemain negara.

"Saya akui ia merupakan tempoh masa yang sukar untuk skuad negara mempertahankan gawang gol daripada dibolosi lagi pada minit-minit terakhir perlawanan oleh Taiwan bagi membenarkan mereka daripada layak ke kelayakan kedua," katanya.

Rajagobal turut mengakui rentak permainan negara terganggu disebabkan tiga layangan kad kuning kepada pemainnya dalam kotak penalti sendiri.

"Saya bukannya tidak setuju dengan keputusan pengadil dari Vietnam itu cuma adakah ia wajar diberikan penalti atas kesilapan kecil sedemikian" soalnya.

Dua daripada tiga jaringan gol Taiwan adalah menerusi sepakan penalti gara-gara pengadil membuat keputusan pemain negara telah mengasari pemain Taiwan.

Bagaimanapun satu sepakan penalti Taiwan berjaya diselamatkan penjaga gol Mohd Sharbinee Allawee Ramli setelah pemain pertahanan Mohamad Fadhli Mohd Shas didakwa mengasari Chen Po Liang pada minit ke-61.-BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain