suria

Sukan (Bola Sepak): Dapatkan Keputusan Cemerlang Dengan Singapura - Ahmad Shabery

SHAH ALAM: Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek bersyukur dan mengucapkan tahniah kepada pasukan Harimau Malaya yang berjaya mara ke pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2014 zon Asia.

Malaysia mara ke pusingan kedua walaupun kalah 2-3 kepada Taiwan pada perlawanan kedua pusingan pertama di Taipeh malam Ahad.

Bagaimanapun, Malaysia melangkah ke pusingan seterusnya dengan peraturan gol di tempat lawan selepas terikat dengan agregat 4-4.

Pada perlawanan pertama di Stadium Nasional Bukit Jalil, Rabu lepas, Malaysia mengalahkan Taiwan 2-1.

Ahmad Shabery berkata beliau mahu pasukan negara meneruskan usaha bagi mendapatkan keputusan cemerlang apabila menentang Singapura pada perlawanan pertama pusingan kedua di republik itu pada 23 Julai ini.

"Saya harap pasukan negara dapat menghargai keyakinan rakyat dengan memberi keputusan cemerlang pada perlawanan seterusnya," katanya selepas menyaksikan perlawanan itu bersama lebih 200 peminat menerusi layar lebar di Restoran Lagenda Hainanese Chicken Rice di Seksyen 13 di sini.

Beliau juga meminta penyokong supaya membanjiri Stadium Nasional Bukit Jalil pada 23 Julai ini bagi memberi sokongan kepada pasukan negara pada perlawanan menentang Singapura pada 23 Julai dan perlawanan timbal balik di republik itu pada 28 Julai ini. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain