suria

Sukan Basikal: Ju Pha Teruskan Latihan Dalam Negara

KUALA LUMPUR: Sekalipun sekadar berlatih di dalam negara, atlet berbasikal Ju Pha Som Net tetap bersemangat membuat persediaan menghadapi Sukan Komanwel Remaja ke-IV di Isle of Man pada September ini.

Ju Pha, 18, yang tidak berpeluang menjalani latihan bersama skuad senior di bawah bimbingan jurulatih kebangsaan John Beasley di Melbourne, Australia berkata beliau komited untuk mengharumkan nama negara.

"Apa yang paling penting ialah saya perlu berlatih secara bersungguh-sungguh," katanya ketika dihubungi Bernama, Ahad.

Anak jati kelahiran Kampung Padang Jelutong di pinggir ladang tebu Chuping itu juga berharap akan terpilih untuk mewakili negara ke Sukan SEA di Indonesia pada akhir tahun ini.

Ju Pha sebelum ini dinobatkan sebagai Olahragawati Sukan Malaysia ke-14 selepas memungut pingat emas menerusi acara scratch, perlumbaan mata, 3 kilometer individu kejar mengejar dan individu pecut, selain meraih perak bagi keirin.

Sementara itu, Pengarah Cawangan Pelapis Majlis Sukan Negara (MSN) Jefri Ngadirin berkata Ju Pha tetap berpeluang berlatih di luar negara apabila tiba masanya.

"Jika Ju Pha ada menyertai kejohanan peringkat antarabangsa, MSN pasti akan menghantar beliau berlatih di Eropah. Namun, buat masa ini belum ada keperluan untuk kita berbuat demikian.

"Lagipun penilaian Beasley mendapati Ju Pha lebih sesuai dalam acara pecut dan ujian masa," katanya.

Sebelum ini, MSN menghantar tiga pemenang pingat emas acara berbasikal trek pada Sukan Malaysia ke-14 mengikuti bimbingan Beasley di Melbourne. Muhd Arfi Qhairant Amran (Melaka), Mohd Fattah Amri Zaid (Kedah) dan Ahmad Fakhrullah Alias (Pahang) yang merupakan pelapis kebangsaan kini dinaik taraf menyertai skuad elit yang berpangkalan di sana. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain