suria

K. Rajagobal Tetap Gembira Dengan Prestasi Anak Buah

KUALA LUMPUR: Skuad Harimau Malaya masih belum membawa bekalan selesa ke perlawanan timbal-balik Kelayakan Piala Dunia Zon Asia yang akan berlangsung di Stadium Taipei, Taiwan pada Ahad ini.

Pasukan bimbingan Datuk K. Rajagobal mencipta kemenangan tipis setelah menewaskan Taiwan 2-1 dihadapan 45,000 penyokong di Stadium Nasional, Bukit Jalil Rabu malam.

Rajagobal berkata walaupun sedikit kecewa dengan rentak permainan anak didiknya pada babak pertama apabila barisan sayap kanan yang agak longgar beliau tetap gembira dengan kejayaan hari ini.

"Kita tidak kalah atau seri maka itu sudah cukup terbaik untuk skuad Harimau Malaya membawa bekalan bagi mencari kemenangan yang berikutnya di Taiwan nanti.

"Saya fikir bahawa kita mempunyai peluang lebih baik untuk menang selesa pada awalnya namun saya akan membuat beberapa perubahan selepas ini kerana ada pemain yang cedera dan kemungkinan saya akan buat perubahan pada barisan pertahanan perlawanan timbal balik nanti," katanya kepada pemberita selepas perlawanan.

Rajagobal berkata beliau akan memberi amaran kepada barisan pemain pertahanan negara agar tidak leka, lebih fokus dan lebih berdisplin apabila berada di atas padang agar kesilapan yang sama tidak akan berulang lagi dengan bolos satu gol kepada Taiwan.

"Saya terkejut dan kecewa dengan kehilang fokus barisan pertahanan apabila gol pertama Taiwan dihasil Chen Po Liang pada minit ke-77.

"Ianya tidak sepatutnya berlaku kerana mereka tidak bersungguh-sungguh mengekang asakan lawan dan saya harap ianya tidak berulang lagi," katanya.

Beliau bagaimanapun gembira dengan kejayaan hari ini dan berpuas hati dengan persembahan keseluruhan anak didiknya.

"Perlawanan pertama adalah satu perlawanan yang sukar dan apa-apa boleh berlaku dalam 90 minit namun kita berjaya juga memperolehi kemenangan pada malam ini dan ianya adalah satu permulaan yang baik," katanya.

Sementara itu, Jurulatih Taiwan, Lo Chi Tsung berkata beliau menerima kekalahan pasukannya dan mengakui bahawa pasukan negara bukanlah calang-calang pasukan.

"Tiada siapa yang mahu kalah dan kami telah mencuba sebaik mungkin dan menerima keputusan ini.

"Walaupun kami bermain secara bertahan malam ini, kami masih tidak boleh mengalahkan barisan serangan Malaysia. Selepas ini kami perlu menukar strategi dengan lebih banyak membuat serangan di tempat sendiri Ahad ini. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain