suria

Birmingham Dalam Krisis, Presiden Kelab Ditahan Polis HK

HONG KONG: Nasib kelab yang disingkirkan dari Liga Perdana Inggeris, Birmingham City kini terumbang ambing apabila salah seorang pemegang saham utamanya yang juga presiden kelab, Carson Yeung, ditahan oleh polis Hong Kong atas dakwaan berkaitan wang haram.

Jutawan berusia 51 tahun itu berhadapan dengan lima dakwaan berurusan dengan hartanah atau kegiatan yang ada kaitan dengan wang haram.

Yeung memiliki 23.3% saham dalam kelab tersebut menjadikannya sebagai pemegang saham individu terbesar dalam Birmingham City.

Beliau juga adalah pengerusi Birmingham International Holdings Limited, ialah syarikat induk kepada kelab bolasepak tersebut.

Peter Pannu, yang kini memangku jawatan pengerusi Birmingham berkata, Yeung kini sedang membantu polis Hong Kong dalam siasatan berkenaan.

Yeung mengambilalih kelab itu pada bulan Oktober 2009, setelah membeli saham dari tangan David Gold dan David Sullivan.

Di bawah kepimpinan Yeung, Birmingham telah memenangi piala mereka yang pertama dalam tempoh 48 tahun apabila mereka menewaskan Arsenal dalam kejohanan Piala Carling Februari lalu.

Malangnya kemenangan tersebut gagal melonjak semangat anak buahnya untuk terus mengekalkan Birmingham dalam Liga Perdana.

Krisis di Birmingham berterusan apabila pengurus mereka, Alex McLeish meletakkan jawatan hanya menerusi emel untuk berpindah ke kelab pesaing, Aston Villa awal bulan ini.

Untuk makluman, Aston Villa adalah kelab yang berpusat di bandar Birmingham sama seperti Manchester United dan Manchester City.

Artikel Berikut

Artikel Lain