suria

Pasukan Olimpik Akan Jalani Latihan Di Slovakia

KUALA LUMPUR: Pasukan bolasepak Olimpik negara di bawah ketua jurulatih Ong Kim Swee akan menjalani latihan di Slovakia hujung Julai ini, kata Timbalan Menteri Belia dan Sukan (KBS) Datuk Razali Ibrahim.

Beliau berkata pasukan itu akan berlepas ke kem latihan di Vion, Slovakia pada akhir bulan depan dan dijadual menyertai 10 hingga 12 perlawanan persahabatan dengan pasukan-pasukan divisyen satu Liga Slovakia.

"Ini merupakan persediaan untuk Sukan Sea di Indonesia November ini serta kelayakan ke Olimpik 2012 London tahun depan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Bengkel Penyelarasan Bola sepak-Program Pembangunan Bola sepak Negara di Kompleks Sukan Bukit Jalil di sini, Rabu.

Walaupun KBS masih belum meluluskan secara rasmi perbelanjaan bagi program itu, beliau berkata pada dasarnya kementerian bersetuju dengan cadangan daripada Persekutuan Bola sepak Malaysia (FAM) itu.

"Kita akan pastikan program itu berjaya dilaksanakan," katanya.

Katanya pasukan itu turut dijadual mengadakan perlawanan persahabatan dengan pasukan Olimpik Republik Chezch dan Austria, bagaimanapun tarikh kedua-dua perlawanan tersebut masih belum ditentukan.

Razali berkata selain itu dana berjumlah RM1.7 juta telah diperuntukkan kepada Kementerian Pelajaran untuk pembangunan bola sepak secara menyeluruh di peringkat sekolah.

Peruntukan itu termasuk RM800,000 bagi penganjuran liga Kementerian Pelajaran, RM500,000 bagi peralatan sukan dan RM400,000 untuk penganjuran Karnival Sukan Berprestasi Tinggi.

"Sasaran kita adalah untuk mendapat 2,600 pemain bola sepak di peringkat sekolah, berumur 11 hingga 13 tahun, berlatih di bawah 1,700 jurulatih yang terlibat dengan program pembangunan ini yang dijalankan di seluruh negara," katanya.

Sementara itu bengkel tersebut, yang bermula hari ini hingga Ahad dihadiri lebih 70 jurulatih bola sepak dari seluruh negeri yang bertujuan antara lain menetapkan standard pemilihan pemain.-BERNAMA

Artikel Lain