suria

Sukan (Berbasikal): Mohd Shahrul Juara GP Pahang, Raih Tiket Ke Sukan SEA 2011

KUALA LUMPUR: Pelumba Terengganu Cycling Team (TSG), Mohd Shahrul Mat Amin meraih kejuaraan GP kebangsaan pertamanya apabila muncul juara dalam acara lepas beramai-ramai elit lelaki pada Kejohanan Berbasikal Kebangsaan 2011 peringkat keempat di Raub, Pahang, Ahad.

Kemenangan itu disusuli berita gembira apabila namanya diselit dalam senarai lapan pelumba negara ke Sukan SEA di Indonesia, November ini.

"Kemenangan ini amat bermakna kepada diri saya dan pasukan TSG. Memang inilah keputusan yang disasarkan jurulatih kami (Syed Mohd Hussain Syed azlan)," katanya dalam kenyataan di sini.

Dalam perlumbaan tersebut Mohd Shahrul telah membuat kayuhan sejauh 176km dengan catatan masa 4 jam 18 minit 47.263 saat untuk mengatasi bekas pelumba kebangsaan yang mewakili Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Mohd Zamri Salleh yang merakam masa 4'18:48.110s.

Bagi kategori wanita elit, Kimberley Yap melakar sejarah manis apabila mengecapi gelaran kebangsaan pertamanya apabila mengetepikan asakan pelumba Kedah, Masziyaton Mohd Radzi dan juara bertahan dari Selangor, Mariana Mohamad di garisan penamat untuk menang dengan masa 2'41:59s.

Kejayaan Mohd Shahrul sememangnya sudah diduga kerana Syed Mohd Hussain sudah mensasarkan Mohd Shahrul dan Mohamad Saufi sebagai pelumba terbaik untuk merampas gelaran kebangsaan daripada pelumba sensasi, Mohd Adiq Hussainie.

Mohd Adiq Hussainie jelas masih letih gara-gara penerbangan jauh dari Belgium ke Kuala Lumpur kerana membuat latihan bersama pasukan Drapac dan hanya terdaya menduduki tempat ke-15, keciciran 2:370s di belakang pendahulu perlumbaan.

Peringkat GP seterusnya akan berlangsung di Negeri Sembilan, kemudiannya di Kuching, Sarawak dan tirai penutupnya di Pulau Pinang. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain