suria

Saya Tak Kata Macam Itu: Azzuddin

PETALING JAYA: Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Azzuddin Ahmad menjelaskan laporan yang memetik beliau sebagai berkata kemungkinan pemain Harimau Malaya dan skuad Olimpik terlibat dalam kegiatan mengatur perlawanan telah dipetik di luar konteks.

Azzuddin dalam satu sidang media di Wisma FAM di sini menjelaskan beliau tidak pernah menyatakan pasukan kebangsaan Piala Dunia ataupun Olimpik disyaki rasuah tetapi memberikan kenyataan merujuk kepada kes yang melibatkan T-Team dan Negeri Sembilan.

Menurutnya, kekeliruan timbul ekoran satu soalan mengelirukan yang diajukan kepadanya di Damansara Damai semalam kononnya terdapat desas-desus bahawa ada pemain pasukan kebangsaan terlibat dalam kegiatan itu.

"Saya hanya maksudkan aduan yang dibuat oleh Negeri Sembilan dan T-Team di mana pemain-pemain itu dan Ketua Jurulatih skuad Piala Presiden Negeri Sembilan dihadapkan di mahkamah dan proses penyiasatan polis dan FAM masih berterusan," katanya, Khamis.

Azzuddin berkata, sehingga kini FAM tidak menerima laporan daripada polis atau Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengenai penglibatan pemain kebangsaan dengan aktiviti rasuah.

"Siapa yang dikaitkan (dalam penyiasatan itu) itu, saya tidak dapat dedahkan Oleh kerana perkara itu dalam penyiasatan (dan saya) tidak mendapat 'privilege' (keistimewaan memperoleh) maklumat polis ataupun SPRM," katanya.

Sementara itu, Naib Presiden FAM merangkap pengurus pasukan Harimau Malaya Datuk Subahan Kamal, yang ternyata amat kecewa dengan laporan berkenaan, berkata ia akan menjatuhkan semula imej bola sepak negara yang baru saja kembali dihormati dan diminati orang ramai.

"Janganlah semata-mata kerana mencari berita sensasi, kita sanggup mengaibkan pasukan Olimpik dan Harimau Malaya kerana saya tahu pemain dan semua pihak yang terlibat berjuang bermati-matian mencari kemenangan buat negara," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain