suria

Saksikan Perlawanan Lubnan Menentang Malaysia Di Dataran Merdeka

KUALA LUMPUR: Para peminat bola sepak berpeluang untuk menonton siaran langsung perlawanan kelayakan Olimpik, Malaysia menentang Lubnan, melalui skrin besar di Dataran Merdeka pada Ahad ini bermula pukul 10.30 malam.

Menurut kenyataan Kementerian Belia dan Sukan, siaran langsung itu dibawakan oleh kementerian dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur.

Skuad Olimpik Malaysia di bawah kendalian Ong Kim Swee layak beraksi menentang Lubnan pada pusingan kedua kelayakan Olimpik yang berlangsung di Stadium Sport City, Beirut selepas menumpaskan Pakistan dalam perlawanan kelayakan pertama dengan aggregat 2-0.

Pasukan negara dijangka pulang ke tanah air pada 20 Jun dan menanti kedatangan lawan bagi perlawanan timbal balik yang akan berlangsung di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada 23 Jun.

Lubnan memperoleh kelayakan terus ke pusingan kedua berdasarkan pencapaian pada pusingan kelayakan Sukan Olimpik 2008 di Beijing bersama 12 lagi negara iaitu Korea Selatan, Korea Utara, Australia, China, Jepun, Iraq, Bahrain, Qatar, Arab Saudi, Syria, Uzbekistan dan Vietnam.

Kali terakhir Malaysia layak ke Sukan Olimpik adalah pada 1980 di Moscow tetapi kerajaan Malaysia memboikot temasya itu kerana membantah pencerobohan Soviet Union ke atas Afghanistan.

Sebelum itu, pemain Malaysia beraksi pada Sukan Olimpik 1972 di Munich, Jerman. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain