suria

Rajagobal Hanya Tampilkan Seorang Penyerang

PETALING JAYA: Kecederaan tonggak berbisa Kelantan, Norshahrul Idlan Talaha memaksa skuad Harimau Malaya menampilkan hanya seorang penyerang ketika bertemu Myanmar pada perlawanan persahabatan di Stadium Sultan Mohamad ke-IV, Kota Baharu, Sabtu ini.

Jurulatih kebangsaan Datuk K.Rajagobal berkata beliau terpaksa melakukan percaturan dengan menurunkan Abdul Hadi Yahya pada perlawanan itu dan seterusnya melihat kemampuan penyerang baru yang bakal digandingkan.

"Saya perlu fikir apa yang bersesuaian kerana kita turut ada penyerang yang lain ekoran pemain posisi penyerang tersebut mengalami kecederaan otot 'hamstring' (urat pelipat lutut) sebelum melaporkan diri (ketika) latihan semalam.

"Saya tidak mahu memanggil Safee Sali, yang kini berada di Indonesia, kerana saya mahu mereka (penyerang lain) diberi peluang mempamerkan aksi," katanya ketika ditemui selepas majlis pelancaran tiket yang memaparkan wajah pemain kebangsaan di Wisma FAM, Khamis.

Tiket itu dihasilkan penganjur ProEvents Group sempena kedatangan kelab bola sepak Inggeris, Arsenal menentang skuad negara pada 13 Julai ini di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Rajagobal berkata tiga pemain posisi lain yang cedera ialah S.Chanturu (Kelantan), Ahmad Fakri Saarani (Negeri Sembilan) dan Shahrizal Mohd Saad (Johor FC), namun tidak sebegitu serius.

Beliau berkata potensi penyerang sedia ada dalam barisan Harimau Malaya ketika menentang Myanmar akan dinilai, selain menguji kombinasi pemain baru bagi memantapkan kesebelasan utama, sebelum bertemu Taiwan pada 29 Jun dalam perlawanan kelayakan Piala Dunia 2014.

"Saya akan caturkan mana posisi pemain yang saya boleh gunakan. Sekiranya selepas perlawanan persahabatan ini saya masih buntu mencari pengganti penyerang, maka saya terpaksa memanggil penyerang yang lain," katanya.

Selain itu, beliau mungkin memanggil pemain skuad bawah 23 tahun, Izzaq Faris Ramlan atau penyerang lain jika pemain yang disenarai belum pulih sepenuhnya.

Sementara itu, Norshahrul berkata kesakitan otot 'hamstring' dialaminya sejak Selasa lepas.

"Nasib baik selesai Piala FA ia terjadi. Doktor kata tempoh paling awal sembuh adalah dua minggu. Ini merupakan kecederaan yang agak serius.

"Saya harap kecederaan saya ini cepat sembuh, dan berharap saya mampu mengetuai barisan penyerang menentang Taiwan nanti," katanya.

Abdul Hadi pula berkata ketiadaan Norshahrul mengetuai barisan penyerang sedikit sebanyak mencemaskan, namun percaya dengan kemampuan percaturan Rajagobal dalam membentuk penyerang baru.

"Itu terpulang kepada jurulatih. Apa yang saya tahu, saya akan membuat yang terbaik pada perlawanan persahabatan itu nanti," katanya.

Skuad negara dijadual ke Kota Bharu untuk menentang Myanmar pada Jumaat. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain