suria

Stadium Tertutup Bola Tampar Pertama Negara Di Sibu Siap 2013

SIBU: Stadium tertutup bola tampar pertama di negara ini dan bertaraf antarabangsa akan dibina di Sibu dan dijangka siap dalam tempoh dua tahun.

Upacara pecah tanah stadium itu yang terletak di Taman Perumahan Rejang di sini disempurnakan pagi tadi oleh Menteri Alam Sekitar dan Kesihatan Sarawak Datuk Seri Wong Soon Koh bersama Ketua Pegawai Eksekutif Prudential Assurance Malaysia Berhad, Charlie Oropeza, Presiden Persatuan Bola Tampar Sibu Dr William Ting Wee Ung dan Timbalan Pengerusi Majlis Perbandaran Sibu Daniel Ngieng Kiong Ann.

Prudential Assurance menyumbang RM3 juta bagi pembinaan stadium berharga RM6 juta itu, yang akan mempunyai tiga gelanggang, gimnasium dan sebuah auditorium yang mampu menempatkan 5,000 orang.

Dalam ucapannya pada majlis itu, Wong menyifatkan sumbangan besar oleh Prudential Assurance itu sebagai satu bukti jelas mengenai tanggungjawab sosial syarikat itu khususnya kepada penduduk Sibu.

Oropeza pula berkata pembiayaan oleh Prudential Assurance itu selaras dengan matlamat syarikat itu untuk menyumbang ke arah kemajuan golongan belia sama ada dalam bidang akademik ataupun sukan di peringkat global.

"Remaja adalah masa depan negara dan mereka harus digalak mempunyai cara hidup yang sihat dan memenuhi impian dalam bidang sukan kegemaran masing-masing," katanya.- BERNAMA

Artikel Lain