suria

Skuad Olimpik Perlu Segera Bangkit: Azzuddin

PETALING JAYA: Setelah kalah dua perlawanan persahabatan dalam tempoh sembilan hari lepas menjelang perlawanan sebenar kelayakan Olimpik 2012 menentang Lubnan nanti, skuad bola sepak negara sepatutnya sudah 'menekan butang panik', kata Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Datuk Azzuddin Ahmad.

"Mereka perlu segera bangkit untuk berdepan Lubnan," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis pelancaran akademi Chelsea Blue Pitch di NPNG Sports Centre, Damansara Damai, di sini, Rabu.

Azzuddin berkata kekalahan 1-0 kepada Kemboja pada 7 Jun dan 4-0 kepada Qatar pada Isnin lepas, harus dijadikan pengajaran kepada skuad bimbingan jurulatih Ong Kim Swee itu.

"Saya harap kekalahan ini boleh dijadikan sebab untuk menekan butang panik supaya pemain cepat belajar daripada kesilapan," katanya.

Ditanya sama ada cuaca panas di Qatar merupakan antara faktor kekalahan pasukan negara, beliau berkata itu tidak boleh dijadikan alasan.

"Kita pernah hantar pemain Harimau Muda berlatih dan bermain dalam liga di negara Slovakia yang sejuk dan kita mampu menang dalam beberapa perlawanan. Saya rasa pemain kita mampu menyesuaikan diri bermain di mana-mana," katanya.

Malaysia akan menentang Lubnan di Beirut pada Ahad ini dan di Stadium Nasional Bukit Jalil di sini pada 23 Jun nanti.

Dalam perlawanan kelayakan yang pertama menentang Pakistan pada 23 Feb, Malaysia menang 2-0 di Stadium Shah Alam dan seri 0-0 di Stadium Punjab, Lahore, pada 9 Mac lepas.-BERNAMA

Artikel Lain