suria

Liga Bola Sepak Wanita Pada Tahun Depan:Annuar Musa

KOTA BARU: Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) akan mewujudkan liga bola sepak untuk pasukan wanita di setiap negeri bermula pada tahun depan bagi merancakkan sukan bola sepak di negara ini.

Timbalan Presiden FAM, Tan Sri Annuar Musa berkata perjalanan sistem liga untuk pasukan wanita itu nanti hampir menyamai Liga Malaysia yang diamalkan sekarang dan yakin bakal mendapat sambutan daripada pasukan setiap negeri.

"Keputusan untuk mengadakan liga bola sepak wanita ini telah diputuskan dalam mesyuarat jawatankuasa bola sepak wanita kebangsaan yang dipengerusikan saya beberapa hari lalu.

"Ini satu medan bagi FAM memilih pemain untuk pasukan kebangsaan wanita yang boleh disandarkan harapan menyertai pertandingan peringkat antarabangsa," katanya kepada pemberita di sini, Rabu.

Beliau berkata badan induk itu juga akan mengadakan satu karnival bola sepak wanita peringkat kebangsaan pada 23 Julai ini sebagai persiapan memilih pemain untuk mewakili pasukan kebangsaan pada satu kejohanan anjuran Persekutuan Bola Sepak Asean (AFF) di Laos pada Oktober ini.

"Kita ada masa beberapa bulan lagi untuk menyiapkan pasukan wanita kebangsaan ini dan sebab itu karnival bola sepak wanita ini juga akan menjadi landasan untuk memilih pemain ke sana," katanya.

Beliau berkata beberapa pemain futsal wanita yang menyertai beberapa kejohanan futsal yang dianjurkan beberapa pihak sebelum ini juga telah diintai oleh FAM bagi mengambil mereka menyertai pasukan kebangsaan nanti.

Sehubungan itu FAM kini sedang berusaha untuk mencari penganjur utama bagi menaja pasukan wanita kebangsaan dan juga liga bola sepak wanita itu nanti.- BERNAMA

Artikel Lain