suria

KBS Akan Minta Kerajaan Pertimbang Elaun Khusus Anggota Parlimen Belia

KUALA LUMPUR: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan mengemukakan satu bajet khusus kepada kerajaan terhadap jenis elaun yang mungkin dipertimbangkan kepada anggota Parlimen Belia.

Menterinya, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata antaranya termasuklah elaun waktu bersidang dan elaun ketika menghadiri mesyuarat berkaitan pembentukan jawatankuasa dalam bidang masing-masing.

Bagaimanapun, menurut beliau perkara tersebut belum diputuskan dan masih di peringkat perbincangan.

"Untuk tujuan itu, pada awal bulan hadapan, kita akan adakan bengkel selama tiga hingga empat hari yang akan menghimpunkan pelbagai pihak untuk memberi cadangan terhadap isu elaun, umur dan prosedur memilih anggota Parlimen Belia ini.

"Ini adalah antara perkara-perkara yang akan kita perhalusi terlebih dahulu sebelum KBS membawa perkara ini kepada Kabinet untuk persetujuan. Apabila adanya persetujuan itu nanti, dapatlah ditentukan peruntukan tahunan untuk Parlimen Belia," katanya ketika ditemu ramah dalam Program Kerusi Panas, terbitan Bernama Radio24.

Ahmad Shabery menyifatkan, kekangan paling utama kepada keberkesanan Parlimen Belia adalah penerimaan orang ramai dan belia serta pemilihan anggota Parlimen Belia yang berkualiti.

Katanya masih wujud perasaan acuh tak acuh segelintir pihak yang menyifatkan penubuhan Parlimen Belia sebagai inisiatif yang remeh.

Ahmad Shabery berkata KBS mahu penubuhan Parlimen Belia dilakukan secara berperingkat-peringkat dan tidak terburu-buru bagi memastikan orang ramai tidak mempunyai persepsi yang salah kononnya Parlimen Belia membuang masa dan membazirkan duit rakyat.

Prestasi anggota Parlimen Belia yang bakal dipilih itu, katanya, akan dinilai berlandaskan kepada sumbangan pemikiran semasa waktu persidangan.

Ditanya pula mengenai lokasi yang bakal menempatkan Parlimen Belia ini, beliau berkata pihaknya sudah mengadakan perbincangan dengan Speaker Parlimen namun butiran lanjut tidak dapat didedahkan sekarang.- BERNAMA

Artikel Lain