suria

Tiga Pemenang Emas Sukma Dihantar Ke Melbourne

KUALA LUMPUR: Tiga pemenang pingat emas acara berbasikal trek pada Sukan Malaysia ke-14 akan dihantar berlatih bersama skuad senior di bawah jurulatih kebangsaan, John Beasley di Melbourne, Australia, pada hujung bulan ini.

Pengarah Cawangan Pelapis Majlis Sukan Negara (MSN) Jefri Ngadirin berkata Muhd Arfi Qhairant Amran (Melaka), Mohd Fattah Amri Zaid (Kedah) dan Ahmad Fakhrullah Alias (Pahang) merupakan pelapis kebangsaan dan kini dinaik taraf menyertai skuad elit yang berpangkalan di Melbourne.

"Mohd Arfi juga akan bersaing dalam Kejohanan Lebuhraya Junior Dunia di Moscow, Russia dari 5-8 Ogos ini," katanya, Isnin.

Skuad berbasikal trek merupakan satu-satunya pasukan pelapis kebangsaan yang menyertai Sukan Malaysia yang berakhir semalam sementara atlet dalam sukan lain adalah di bawah kendalian MSN di negeri-negeri.

Jefri berkata acara berbasikal trek menyaksikan penyertaan 14 pelapis kebangsaan, 19 pelapis serantau dan 87 pelumba lagi dari negeri-negeri.

Pada temasya sukan itu, Muhd Arfi memenangi emas dalam acara keirin, Mohd Fattah dalam acara pecut lelaki individu sementara Ahmad Fakhrullah dalam acara 4km kejar-mengejar individu lelaki.

Mengenai program latihan bagi pemenang empat pingat emas yang juga olahragawati SUKMA, Ju Pha Som Net, Jefri berkata pelumba itu akan terus berlatih di negara ini di bawah kendalian jurulatih Soud Husin.

Katanya Ju Pha dari Perlis, pada mulanya turut tersenarai untuk ke Melbourne untuk berlatih bersama Fatehah Mustapa tetapi penilaian Beasley mendapati pelumba lebih sesuai dalam acara pecut dan ujian masa.

Pada temasya SUKMA di sini, Ju Pha memenangi emas dalam acara 3km kejar-mengejar individu, 10km scratch, pecut dan 500m ujian masa, serta satu pingat perak menerusi acara Keirin.-BERNAMA

Artikel Lain