suria

Sukan Malaysia Ke-14 Capai Matlamat Tersendiri

KUALA LUMPUR: Sukan Malaysia ke-14 yang melabuhkan tirainya pada Ahad membawa matlamat yang berbeza daripada edisi temasya tersebut sebelum ini apabila buat pertama kalinya, sukan bukan pilihan diberikan keutamaan untuk bertanding.

Pada temasya anjuran Majlis Sukan Negara (MSN) yang diadakan di 17 venue di sekitar Lembah Klang, sebanyak 19 acara bukan pilihan dipertandingkan bagi atlet di bawah 21 tahun.

Variasi yang berbeza ini memberi nafas baru kepada pembangunan sukan bukan wajib yang sebelum ini agak ketinggalan apabila kurang mendapat tempat dalam penganjuran Sukan Malaysia di negeri-negeri, sebelum ini.

Pada temasya sebelum ini, negeri-negeri mempertandingkan 24 jenis sukan wajib dan hanya memilih empat atau lima sahaja sukan bukan pilihan.

Kejayaan penganjuran temasya ke-14 membuktikan penganjuran sukan tidak semestinya memerlukan perbelajaan besar dan perlu dijadikan sebagai kayu ukur dalam penganjuran temasya berikutnya.

Walaupun dengan kos penganjuran sebanyak RM8 juta, berbanding antara RM30 hingga RM50 juta bila dianjurkan di negeri-negeri, Sukan Malaysia kali ini tetap meriah malah dianggap sebagai penganjuran yang paling berjaya berbanding dengan edisi sebelum ini.

Menurut Ketua pengarah MSN, Datuk Zolkples Embong penganjuran Sukan Malaysia yang pertama kali dianjurkan oleh badan itu berjaya mencapai matlamat dan sasarannya.

"Kali ini kita dapat sediakan tahap pertandingan yang tinggi kepada semua sukan pilihan yang melibatkan atlet bawah 21 tahun," katanya.

Zolkples juga menyifatkan penganjuran Sukan Malaysia ke-14 ini adalah sebagai permulaan bermulanya pembangunan sukan-sukan baru seperti acara bola baling, mendayung dan berbasikal di peringkat negeri.

Beliau yang juga pengerusi jawatankuasa penganjuran Sukan Malaysia ke-14 berkata edisi kali ini juga memberi peluang kepada semua jenis sukan, khususnya sukan kurang popular untuk berkembang seiring dengan sukan wajib.

"Matlamat Sukan Malaysia sebenarnya adalah untuk mewujudkan pembangunan yang lebih tersusun di peringkat negeri dan sebagai contoh, Terengganu berjaya mengatur sendiri program pembangunan atletnya melalui kerajaan negeri tanpa bergantung sepenuhnya kepada pihak MSN.

Beliau berkata Perlis juga menjadi kuasa baru dalam sukan berbasikal apabila atletnya Ju Pha Som Net meraih empat pingat emas dan satu perak di Sukan Malaysia dan berharap negeri lain juga mampu melahirkan lebih ramai atlet muda yang kompetitif.

Terengganu mempertahan gelaran juara keseluruhan yang dimenangi negeri tersebut sejak edisi di Terengganu (2008) dan di Melaka (2010) selepas mengumpul 30 pingat emas, lapan perak dan 12 gangsa.

Sebanyak 4,500 atlet dan pegawai mewakili 14 kontinjen dari seluruh negara, mengambil bahagian dalam 19 sukan pilihan yang dipertandingkan di venue sekitar Lembah Klang dan Kompleks Sukan Bukit Jalil.- BERNAMA

Artikel Lain