suria

Kontinjen Terengganu Tambah Dua Pingat Di Hari Terakhir

KUALA LUMPUR: Kontinjen Terengganu menambah dua lagi pingat emas pada hari terakhir temasya Sukan Malaysia ke-14 Kuala Lumpur yang akan menutup tirainya secara rasmi malam Ahad.

Pingat emas pertama Terengganu hari ini diperoleh menerusi skuad sofbol wanita yang menumpaskan Perak 22-4 di Padang Sofbol Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang dan pingat emas kedua diperoleh menerusi skuad bola baling yang mengalahkan Kelantan, 15-12 di Dewan Sri Putra, Bukit Jalil.

Sementara itu, Negeri Sembilan melakar kejutan apabila berjaya mempamerkan aksi yang menarik untuk mengenepikan saingan pasukan pilihan Pulau Pinang dan Selangor dalam acara kombinasi renang berirama di Pusat Akuatik Nasional, Bukit Jalil.

Kontinjen Terengganu, selaku juara bertahan, menamatkan saingan mereka di temasya Sukan Malaysia ke-14 Kuala Lumpur di tangga teratas dengan 30 pingat emas, lapan perak dan 12 gangsa.

Pesaing terdekat Terengganu, Selangor mengekori dengan 26 pingat emas, 18 perak dan 28 gangsa. Kontinjen Selangor, juara Sukan Malaysia sebanyak tujuh kali dan kali terakhir bergelar juara keseluruhan pada edisi 2006 di Kedah, hanya ketinggalan empat pingat emas di belakang Terengganu.

Pada hari terakhir Sukan Malaysia ke-14, kontinjen 'Merah-Kuning' turut menambah dua pingat emas pada hari terakhir temasya sukan itu iaitu menerusi pasukan sofbol lelaki dan bola baling wanita.

Sementara kontinjen 'Harimau Selatan' Johor menamatkan saingan di temasya kali ini dengan 21 pingat emas, 20 perak dan 12 gangsa.

Acara penutup malam ini akan disempurnakan oleh Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek di Stadium Mini Majlis Sukan Negara (MSN) di Bukit Jalil. - BERNAMA

Artikel Lain