suria

Terima Tajaan YSD, Suntik Semangat Jean

Jean Chua (kanan) menerima replika cek bernilai RM180,00 daripada M Jegathesan. Foto Star/SAM THAM.
Jean Chua (kanan) menerima replika cek bernilai RM180,00 daripada M Jegathesan. Foto Star/SAM THAM.
Jean Chua (kanan) menerima replika cek bernilai RM180,00 daripada M Jegathesan. Foto Star/SAM THAM.

KUALA LUMPUR: Pemain golf profesional negara, Chua Tze Jean atau lebih dikenali sebagai Jean Chua menerima tajaan bernilai RM180,000 daripada Yayasan Sime Darby (YSD) sebagai suntikan semangat buat dirinya untuk beraksi di peringkat tertinggi.

Tajaan selama tiga tahun itu merangkumi pembiayaan yuran penyertaan kejohanan di Amerika Syarikat (AS) dan khidmat kejurulatihan bertaraf antarabangsa, Ian Triggs.

"Saya berasa bangga kerana terpilih untuk mendapat tajaan daripada Sime Darby. Ia menjadi pembakar semangat untuk merealisasikan impian saya sejak kecil," katanya pada sidang media selepas majlis penyampaian replika cek di sini, Khamis.

Ahli Majlis YSD, Tan Sri Datuk Dr. M Jegathesan berkata, Jean terpilih menerima tajaan itu berdasarkan pencapaian cemerlang melayakkan diri pada kejohanan golf wanita Terbuka AS yang akan berlangsung di Colorado Springs bermula 7 hingga 10 Julai ini.

"Jean turut mempamerkan prestasi menakjubkan dalam beberapa siri kejohanan yang disertainya. Beliau merupakan contoh terbaik kepada anak muda di luar sana yang cemerlang dalam bidang akademik mahupun sukan," ujar raja pecut negara itu pada era 60-an.

Mengenai perancangannya menghadapi Terbuka AS awal bulan depan, anak jati Kuala Lumpur itu tidak dapat menyembunyikan perasaan teruja untuk beraksi pada kejohanan berprestij dunia tersebut.

"Saya begitu gembira dan tidak sabar untuk beraksi. Sebagai persediaan, saya berkunjung ke gim sekerap mungkin kerana lapangan golf di sana amat panjang...saya berkerja keras sepanjang sesi latihan untuk menyesuaikan diri," jelasnya.

Meskipun kejohanan itu disertai pemain bertaraf antarabangsa, Jean menyasarkan untuk menduduki kelompok 15 pemain terbaik dunia.

"Sasaran saya masih sama seperti beraksi pada Kejohanan Golf Profesional Wanita Sime Darby LPGA Malaysia tahun lalu iaitu untuk meraih kedudukan 15 terbaik. Namun saya berazam untuk mengisi kedudukan 10 terbaik suatu hari nanti," katanya yang akan berlepas pulang ke AS pada Ahad ini.

Berdasarkan peningkatan ketara dalam kariernya, pemain berusia 24 tahun itu kini menduduki ranking ke-413 dalam senarai golf wanita dunia.

Selepas tamat pengajian di Universiti Wake Forest, Utara Carolina, AS, Jean bertukar sebagai pemain profesional pada Ogos 2009 selepas memenangi acara profesional pertama pada Kejohanan Terbuka LPGA Thailand.

Sementara itu, Jean dan bintang golf muda negara, Kelly Tan turut dijemput berentap dengan pemain terbaik dunia pada edisi kedua kejohanan LPGA yang akan diadakan di Kelab Golf & Country Kuala Lumpur (KLGCC) pada 13 hingga 16 Oktober ini.

Kelly yang menempatkan diri di kedudukan ke-332 pada LPGA Sime Darby Malaysia tahun lalu turut menerima anugerah biasiswa daripada YSD untuk mengikuti kursus pra universiti selama enam bulan.

Beliau turut menyertai program golf sepenuh masa di institusi golf terulung dunia, Sekolah Pendleton di Akademi IMG, Florida sejak awal tahun lalu sehingga bulan ini.

Artikel Lain