suria

Negeri Sembilan Pungut Empat Emas Pada Hari Kelapan

KUALA LUMPUR: Negeri Sembilan berjaya merampas kedudukan tempat ketiga dari Selangor pada hari kelapan carta kutipan pingat temasya Sukan Malaysia ke-14.

Negeri Sembilan membolot empat pingat emas daripada acara tenis menerusi kategori perseorangan lelaki, beregu lelaki, perseorangan wanita dan beregu campuran pada hari terakhir acara tersebut.

Secara keseluruhan Negeri Sembilan kini mengumpul 14 pingat emas, 11 perak dan 16 gangsa.

Terengganu terus kekal mendominasi kutipan pingat dengan kutipan keseluruhan 23 pingat emas, enam perak, 10 gangsa manakala Johor di tempat kedua dengan 17 emas, 15 perak dan enam gangsa.

Pingat emas acara renang berirama yang baru membuka tirai pada Khamis dikuasai oleh pasukan Pulau Pinang apabila pasukan Pulau Mutiara itu memperoleh dua emas menerusi acara berpasukan teknikal routine dan acara berpasukan free routine.

Kelantan membuat kejutan apabila skuad ragbinya berjaya memperoleh pingat emas dalam acara tersebut apabila berjaya menumpaskan Sabah 36-5 pada perlawanan akhir, Khamis.

Pingat perak bagi acara tersebut pula milik Sabah dan gangsa menjadi milik Kedah.

Seperti yang diramalkan Wilayah Persekutuan meraih pingat emas dalam acara bola jaring setelah menang besar dengan mata 49-21 menewaskan Terengganu yang meraih pingat perak.

Kedah pula membawa pulang pingat gangsa setelah menumpaskan Johor 49-47 dalam perlawanan penentuan tempat ketiga.

Hari ini sebanyak enam pingat emas ditawarkan iaitu empat pingat emas dari acara mendayung dan dua lagi dari acara renang berirama.- BERNAMA

Artikel Lain