suria

Manchester Utd Berjaya Dapatkan Ashley Young Pada Harga £20 Juta

AKHBAR paling laris United Kingdom The Sun melaporkan bahawa pemain sayap sensasi Aston Villa, Ashley Young telah lulus ujian perubatan dan menandatangani kontrak bersama Manchester United untuk selama empat tahun bernilai £20 juta pada lewat Khamis.

Jumlah itu menjadikan perbelanjaan Manchester United sepanjang minggu ini mencecah £55 juta.

United sebelum ini telahpun memperolehi khidmat pemain pertahanan muda paling berharga di England - Phil Jones dari Blackburn Rovers pada harga £16.5 juta dan persetujuan secara dasar sudahpun dicapai untuk membeli penjaga gol Atletico Madrid, David De Gea pada harga £18.5 juta.

Kejayaan Sir Alex Ferguson memperolehi khidmat Young, Jones dan De Gea dalam tempoh seminggu diibaratkan sebagai pencapaian hatrik oleh media-media utama Inggeris pada saat dan ketika kelab-kelab pesaing seperti Chelsea, Manchester City dan Arsenal masih tercari-cari pemain yang ternama dan sesuai dengan set-up masing-masing.

Setakat ini hanya Liverpool yang berjaya membuat pembelian berharga iaitu pemain tengah dari Sunderland Jordon Henderson yang sepertimana Jones dinilai sebagai pemain muda paling berharga dalam liga perdana Inggeris.

The Sun melaporkan, Young, 25, telah lulus ujian perubatan yang dijalankan di ibu pejabat Manchester United di Carrington lewat petang semalam dan sejurus selepas itu terus menurunkan tanda tangan untuk bersama kelab barunya itu bagi tempoh empat tahun. Ferguson jarang melakukan pembelian di awal musim tetapi kali ini beliau tidak membuang masa untuk membina semula skuadnya yang dirobek oleh Barcelona pada perlawanan akhir Piala Eropah 28 Mei lalu.

Menurut The Sun, kali ini, Ferguson bertindak segera untuk memastikan yang dia membina semula skuad utama sebaik sahaja musim lalu berakhir. Ferguson dikatakan telah memendekkan percutiannya sebaik sahaja mendapat tahu Liverpool sedang bersiap sedia untuk membentangkan tawaran lumayan kepada Jones dan juga Young.

Kedua-dua pemain itu adalah sasaran utama Kenny Daglish. Keupayaan Ferguson mendesak pengurusan United dengan segera memintas tawaran yang dibuat oleh Liverpool merupakan tamparan hebat ke atas Daglish yang kuasa mendesak tidak sehebat Ferguson.

Young boleh bermain pada posisi sayap atau penyerang kedua sebagaimana yang dibuktikannya dalam skuad Villa dan juga England.

Dalam perlawanan kelayakan Piala Negara-Negara Eropah hujung minggu lalu, Young telah menjaringkan gol kedua England untuk mengikat Switzerland 2-2. Bakat Young mula-mula dicungkil ketika bersama Watford dan pada Januari 2007 telah dibeli oleh Aston Villa pada harga £8 juta.

Dia telah berjaya mencatatkan 193 permainan bersama Aston Villa dan menjaringkan 39 gol. Kehadirannya boleh menjejaskan masa depan Nani bersama skuad United.

Artikel Lain