suria

Sukma:Johor Yakin Ke Final Dalam Acara Futsal

SHAH ALAM: Skuad Johor yakin mara ke perlawanan akhir acara futsal lelaki Sukan Malaysia ke-14 selepas mengekalkan rekod tanpa kalah dalam semua perlawanan di peringkat kumpulan.

Jurulatih Mohd Hafiz Jalalludin Abd Manap berkata anak buahnya mempunyai peluang cerah memandangkan mereka kini berada pada prestasi terbaik serta bebas daripada kecederaan.

Beliau berkata skuad bimbingannya itu mempunyai kelebihan dengan dibarisi empat pemain Liga Futsal Kebangsaan yang terdiri daripada Syed Najib Syed Salleh, Mohamad Hariz Lockman, Mohamad Akmal Mazlan dan Mohamad Syafique Faudzil.

"Perlawanan hari ini, saya yakin kami mampu menewaskan Sarawak. Cabaran sebenar kami adalah Negeri Sembilan yang kami jangkakan akan layak ke perlawanan akhir," katanya kepada Bernama.

Pada perlawanan peringkat suku akhir Rabu, Johor menundukkan pasukan Kelantan 4-2 untuk mara ke separuh akhir dan bakal berdepan pasukan Sarawak yang menewaskan Perlis 5-2.

Dalam satu lagi perlawanan separuh akhir esok, akan menyaksikan Negeri Sembilan bertemu Selangor.

Negeri Sembilan menumpaskan Terengganu 4-2, manakala Selangor mengalahkan Wilayah Persekutuan 7-3.

Dalam kategori wanita, Selangor akan berdepan Pahang manakala Wilayah Persekutuan menentang Sabah pada perlawanan separuh akhir Rabu.

Acara futsal Sukan Malaysia ke-14 yang akan menutup tirai esok menawarkan dua pingat emas.- BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain