suria

Sukma:Bola Keranjang Wanita Wilayah Persekutuan Mahu Tebus Kekecewaan

KUALA LUMPUR: Tidak mahu untuk kecewa kali kedua ditangan Johor, pasukan bola keranjang Wilayah Persekutuan wanita bertekad membalas dendam dalam perlawanan akhir esok di Stadium Maba bagi merangkul emas pada temasya Sukan Malaysia ke-14 yang berlangsung di Lembah Klang.

Pada saingan separuh akhir wanita, Rabu, Wilayah Persekutuan telah menewaskan Selangor dengan keputusan 56 berbalas 49 sementara Johor membenam cabaran Melaka dengan keputusan 60-36.

Jurulatih Wilayah Persekutuan, Chow Chee Woo berkata walaupun pasukan wanitanya telah menewaskan lawannya dalam perlawanan separuh akhir pagi tadi, beliau tetap mahukan anak didiknya berwaspada dalam perlawanan akhir esoknya.

"Kita mahu sasar emas untuk kali ini. Peluang untuk menang esok saya lihat adalah 50-50 namun ia boleh jadi macam-macam dalam perlawanan 40 minit.

"Tambahan pasukan Johor mempunyai tiga pemain wakil negara berbanding pemain kita rata-rata hanya wakil remaja kebangsaan," katanya kepada Bernama setelah tamat perlawanan separuh akhir di sini Rabu.

Beliau berkata pasukannya telah mengatur strategi baru setelah tewas kepada Johor 44-81 dalam saingan peringkat kumpulan yang diundi dalam kumpulan yang sama bersama Pahang.

"Tuah tidak bersama kami kerana tewas pun sebab tiga pemain saya telah mengadu keracunan makanan semasa perlawanan itu," katanya yang turut mengakui pemainnya rata-rata lingkungan dalam 19 hingga 20 tahun.

Tiga pemainnya yang didakwa mengalami sakit perut dan cirit-birit itu ialah Eugene Ting Chiau Teng, Bonita Tan Tze Mun, dan Moo Yit Yee.

Chow berkata beliau meletakkan sandaran kepada tiga ayam tambatannya iaitu Kong How Yee, Kung Hui Lee dan Eugene Ting untuk membuat serangan balas ke jaring lawan.

Sementara itu, bagi jurulatih wanita Johor Thoh Chai Ling pula yakin anak didiknya mampu mengekalkan kejuaraan untuk dua temasya berturut-turut.

"Saya yakin mereka mampu sekali lagi tewaskan Wilayah Persekutuan dengan perbezaan 37 mata seperti pertemuan dalam saingan kumpulan.

"Peluang menang saya letakkan adalah 65-35 peratus kerana kita punyai dua pemain kebangsaan yang pastinya menjadi kelebihan buat kita," katanya yang juga bekas jurulatih bola keranjang kebangsaan wanita.

Dua pemain kebangsaan itu ialah kapten Johor, Pang Hui Ping dan R. Kalaimathi.- BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain