suria

Kejohanan Golf Jemputan Terengganu Masters 2011 Tarik Ramai Peserta Profesional

KUALA TERENGGANU: Kejohanan Golf Jemputan Terengganu Masters 2011 (TMGI) kali keenam yang diadakan di Kuala Terengganu Golf Resort, Tok Jembal sejak 3 Jun lalu telah berjaya menarik ramai peserta profesional dari luar negara.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Warisan Negeri, Datuk Rahin Mohd Said, kejohanan anjuran Persatuan Golf Terengganu itu kali pertama melibatkan ramai peserta profesional iaitu seramai 118 peserta tempatan dan 32 peserta luar negara.

Beliau berkata antaranya ialah peserta dari Australia, Brunei, Jepun, Korea, Thailand, Singapura dan Taiwan yang sekaligus menjadi platform terbaik untuk memperkenalkan Terengganu sebagai satu destinasi sukan golf terkemuka.

"Sehubungan itu dalam kejohanan akan datang, kerajaan negeri bercadang untuk menaikkan jumlah hadiah daripada RM23,000 kepada RM30,000 untuk johan pada tahun hadapan.

"Ia bagi menarik lebih ramai lagi peserta profesional dari luar untuk menyertai kejohanan," katanya kepada pemberita selepas penyampaian hadiah kepada pemenang Kejohanan Golf Jemputan Terengganu Masters 2011 yang menawarkan hadiah keseluruhan berjumlah RM150,000.

Selain itu juga, katanya kejohanan itu juga memberi peluang kepada peserta amatur Malaysia untuk menimba pengalaman bermain dalam kejohanan yang besar seperti itu.

Dalam masa yang sama kerajaan negeri juga akan membina saliran air di padang golf tersebut bagi memastikan ia tidak mengalami kerosakan berikutan sering ditenggelami air terutamnya pada musim tengkujuh.

Katanya kerajaan negeri juga akan menambah baik padang golf berkenaan supaya setanding dengan padang golf lain di dalam negara.

Pemain golf negara R. Nachimuthu muncul tempat pertama dan membawa pulang wang tunai sebanyak RM23,250 manakala tempat kedua dimenangi oleh M. Sasidaran (RM16,000) serta Akmal Tarmizee menduduki tempat ketiga (RM9,000).

Menurut Nachimuthu, kemenangan kali ini merupakan yang pertama dimenanginya di Terengganu sejak kejohanan itu dianjurkan pada tahun 2006 dan selepas ini beliau akan membuat persiapan untuk kejohanan golf di Melaka mulai Khamis ini.- BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain