suria

Klose Tinggalkan Bayern Selepas Gagal Setuju Kontrak Baru

PEMAIN antarabangsa Jerman, Miroslav Klose hampir pasti akan meninggalkan Bayern Munich musim depan selepas gagal mencapai sebarang persetujuan untuk melanjutkan tempoh kontraknya.

"Perbincangan yang dijalankan di antara kedua-dua pihak gagal mencapai sebarang persetujuan baru ke atas kontrak yang akan tamat pada 30 Jun ini," kata Bayern dalam satu kenyataan, Isnin.

Pemain berusia 32 tahun itu, yang telah menjaringkan 24 gol dalam 98 perlawanan liga bersama Bayern sejak menyertai kelab itu pada tahun 2007 dari Werder Bremen, mahukan kontraknya disambung selama dua tahun lagi.

Malangnya, Bayern hanya bersedia untuk menawarkan kontrak selama setahun sahaja ditambah setahun lagi sebagai opsyen.

"Saya telah bermain selama empat tahun bersama kelab ini dan ingin merakamkan rasa terima kasih saya kepada Bayern. Bermain untuk kelab ini adalah satu keistimewaan yang bukan dinikmati oleh semua orang," kata penyerang itu.

Sepanjang penglibatannya bersama Bayern, Klose telah memenangi dua kejohanan domestik pada tahun 2008 dan 2010 tetapi pada musim ini beliau kehilangan tempatnya kepada penyerang baru Bayern, Mario Gomez, dan hanya berpeluang menjaringkan satu gol di peringkat liga.

Bagaimanapun, prestasi Klose di peringkat antarabangsa tidak pernah menghampakan - menjaringkan 61 gol dalam 109 perlawanan.

Artikel Lain