suria

KLFA, Liverpool FC Jalin Kerjasama

PETALING JAYA: Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA) akan bekerjasama dengan kelab ternama Liga Perdana Inggeris, Liverpool FC untuk mempertingkatkan Akademi Bola Sepak KLFA sedia ada.

Presidennya Datuk Astaman Abdul Aziz berkata KLFA sudahpun mendapat "surat hasrat" daripada Liverpool FC untuk bekerjasama dengan akademi bola sepak KLFA.

"Perancangan kerjasama ini juga adalah sebahagian daripada rancangan jangka masa panjang kami (KLFA) iaitu untuk mengadakan liga tempatan (Kuala Lumpur) dan merancang program pembangunan yang lain," katanya pada pelancaran jualan tiket perlawanan persahabatan antara pasukan kebangsaan menentang Liverpool FC di sini, Isnin.

Beliau berkata, sesi latihan akan dijalankan di Akademi Bola sepak KLFA seluas 3.28 hektar yang sedia ada di Taman Melawati, Hulu Klang.

"Sekarang ini kita sedang berbincang dengan satu pihak lagi untuk membina asrama bagi kemudahan pelajar-pelajar," katanya.

Astaman berkata mengikut persetujuan kedua-dua belah pihak, kerjasama di akademi bola sepak berkenaan dijadualkan akan bermula pada Ogos tahun ini.

"Mereka (Liverpool FC) telah tetapkan 1 Ogos untuk memulakan akademi ini. Mereka akan tempatkan seorang daripada tenaga pengajar daripada Akademi Bola Sepak Liverpool secara tetap di sini," katanya.

Menurutnya akademi bola sepak itu akan memulakan sesi dengan pengambilan pemain daripada empat kategori umur iaitu Bawah 14, Bawah 15, Bawah 16 dan Bawah 17 tahun.

"Keutamaan akan diberikan kepada pelajar sekolah di sekitar Kuala Lumpur. Kita juga akan cuba untuk memberikan biasiswa kepada pelajar-pelajar yang layak di akademi ini," katanya.

Sementara itu Pengarah Urusan Liverpool FC, Ian Ayre berkata kerjasama tersebut membolehkan kelab bola sepak Liga Perdana Inggeris itu membantu KLFA dalam mengasuh bakat baru.

"Niat kami ialah untuk mengadakan kerjasama tetap. Ideanya ialah untuk menyalurkan pengetahuan bola sepak yang baik dan ia akan membantu kami untuk mengesan bakat. Kami telah mengadakan kerjasama dengan enam buah sekolah bola sepak di seluruh dunia," kata Ayre.

Beliau menambah dengan kerjasama tersebut ia akan meningkat kehadiran komersial The Reds di peringkat global kerana Liverpool FC mempunyai ramai peminat di Asia termasuk Malaysia.

Antara pemain kelahiran akademi Liverpool ialah Jamie Carragher, Michael Owen dan Steven Gerrard.

Perlawanan persahabatan antara pasukan kebangsaan menentang Liverpool FC akan diadakan pada 16 Julai depan di Stadium Nasional, Bukit Jalil.-BERNAMA

Artikel Lain