suria

Aksi The Reds Di Malaysia Bulan Depan

PETALING JAYA: Salah sebuah kelab ternama Liga Premier Inggeris (EPL)Liverpool akan melakukan kunjungan sulung ke Malaysia semasa Jelajah Asia 2011 bulan depan.

Pasukan yang dikenali sebagai The Reds ini dijangka bertemu para peminat mereka di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada 16 Julai untuk mengadakan perlawanan persahabatan dengan pasukan kebangsaan Malaysia.

"Ini merupakan lawatan pertama kami ke Malaysia dan kami tahu Liverpool FC mempunyai ramai peminat di sini. Setiap orang dalam pasukan kami sangat teruja untuk datang ke sini," kata pengarah urusannya Ian Ayre di sini, Isnin.

Beliau yang berada di ibu negara untuk melancarkan jualan tiket perlawanan persahabatan itu berkata perlawanan pramusim adalah sangat penting kepada pasukannya dan mereka akan menganggap serius perlawanan persahabatan dengan Malaysia.

"Perlawanan menentang Malaysia akan memainkan peranan besar untuk persediaan kempen 2011/2012. Sesetengah orang berkata perlawanan pramusim adalah tidak tulen atau tidak terlalu bermakna kepada pasukan besar.

"Di Liverpool FC, kami menganggap perlawanan ini secara serius. Bukan sahaja kerana ia merupakan masa penting untuk pemain kami menjadi cergas dan bersedia untuk musim besar tetapi kerana ia merupakan peluang untuk peminat kami bertemu wira-wira mereka," kata Ayre.

Liverpool menamatkan musim 2010/2011 dengan menduduki tangga keenam.

Beliau berkata hampir suku peminat Liverpool adalah dari dari Asia dan pasukannya teruja untuk kembali menjelajah Asia tahun ini.

The Reds berada di Asia pada tahun 2009 bermain di Singapura dan Thailand.

Selain Malaysia, Liverpool akan berkunjung ke Guangzhou, China dan turut mengadakan perlawanan dengan pasukan Guangdong Sunray Cave pada 13 Julai.

Tiket untuk menentang Malaysia berharga RM58, RM68, RM108 dan RM388 yang boleh ditempah menerusi online di www.ticketpro.com.my sementara Standard Chartered Bank (Malaysia) menawarkan jualan tiket sehingga 9 Jun.-BERNAMA

Artikel Lain