suria

Kejohanan Paragliding Accuracy World Cup Sabah 2011

KOTA KINABALU: Seramai 58 peserta dari 10 negara dijangka mengambil bahagian pada Kejohanan Paragliding Accuracy World Cup 2011 yang pertama kali diadakan di Sabah selama tiga hari mulai Jumaat ini.

Ia dianjurkan oleh Lembaga Pelancongan Sabah dengan kerjasama kelab paragliding Malaysia dan Kinabalu.

Pengurus Acara Sri Pelancongan Sabah Sdn Bhd, Zachary Mobijohn berkata kejohanan akan diadakan di Kampung Ulu Lohan, Ranau.

Ia merupakan sebahagian daripada jelajah dunia yang dianjurkan oleh Federation Aeronautique Internationale di mana peserta antarabangsa memungut mata untuk ranking dunia.

"Tahun ini jelajah dianjurkan di enam negara iaitu Lithuania, Austria, Serbia, Indonesia, Malaysia, dan Jerman. "Ia merupakan pertandingan untuk menguji ketepatan paraglider mendarat setelah meluncur dari Bukit Lohan dan mendarat di satu tanda yang ditentukan di Kampung Ulu Lohan," kata Mobijohn dalam satu kenyataan.

Beliau berkata Malaysia akan diwakili 15 peserta, Taiwan (dua), Slovenia (empat), Indonesia (sembilan), Hungary (dua), Jepun (satu), China (15), Serbia (empat), Qatar (tiga) dan Montenegro (tiga).

Kejohanan dijangka dilancarkan oleh Menteri Pelancongan, Kebudyaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Masidi Manjun pada Jumaat. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain