suria

Sukma (Lawan Pedang): Nurshaheera Perolehi Pingat Pertama Selepas Tujuh Tahun

KUALA LUMPUR: Atlet lawan pedang skuad Wilayah Persekutuan, Nurshaheera Shazny Mohd Zaini, memenangi pingat emas pertama dalam Sukan Malaysia selepas tujuh tahun gagal berbuat demikian pada edisi sebelum ini.

Beliau meraih emas dalam acara Epee individu setelah mengatas Nadzirah Mohd Adzeman dari Johor 15-9 pada perlawanan akhir di Gimnasium 3, Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil, di sini, Sabtu.

Pingat gangsa menjadi milik Alethea May Woo Wei (Wilayah Persekutuan) dan Yaminah Mohd Yassin dari Johor.

Nurshaheera Shazny, 21, berkata kemenangan itu cukup berharga baginya kerana ini adalah penyertaan terakhirnya dalam Sukan Malaysia setelah gagal meraih sebarang pingat emas pada empat edisi temasya itu sebelum ini.

"Saya tidak terfikir boleh menang hari ini setelah setahun tidak berlatih bersama rakan-rakan pada 2008-2009 kerana menamatkan pengajian di sebuah Insitut Pengajian Swasta (IPTS)," katanya.

Sementara itu, pingat emas bagi acara lelaki sabre individu menjadi milik Yu Peng Kean dari Johor setelah mengalahkan Nurul Ariezzat Nazreen Ismail dari Negeri Sembilan dengan mata 15-12.

Pingat gangsa bagi acara tersebut menjadi milik Wong Tzer Chyuan (Wilayah Persekutuan) dan Adam Nicholas Lindbichler (Sabah).

Yu, 20, berkata kelebihan memihak kepadanya apabila beliau lebih berani bila berhadapan dengan Nurul Ariezzat yang juga dari skuad kebangsaan pada kali ini.

"Pada pertengahan perlawanan saya rasa agak takut apabila Nurul Ariezzat mengekor rapat dari segi pungutan mata namun saya berjaya menyekat kemaraan beliau setelah mendapat kekuatan dalaman," katanya.

Yu, yang memenangi pingat emas bagi acara sama pada Sukan Malaysia Terengganu 2008, berkata sasaran beliau selepas ini adalah untuk memperolehi pingat emas pertama buat dirinya pada Sukan SEA di Indonesia, November ini. - BERNAMA

Artikel Lain