suria

Polis Tingkat Kawalan Keselamatan Di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah

KUALA TERENGGANU: Polis akan mempertingkatkan kawalan keselamatan di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah di sini ketika berlangsung perlawanan sengit menentukan juara Liga Super antara Terengganu dan Kelantan, Isnin ini.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Jamshah Mustapa, berkata seramai 648 pegawai dan anggota polis daripada pelbagai unit termasuk Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) akan ditugaskan bagi mengawasi keadaan di luar dan di dalam stadium bagi memastikan tiada kekacauan berlaku.

Katanya pemeriksaan rapi pada badan dan beg setiap penonton akan dilakukan di pintu masuk stadium bagi mengesan kemungkinan ada penyokong membawa masuk barangan berbahaya seperti senjata atau mercun.

"Saya menyeru penyokong kedua-dua pasukan supaya tidak menimbulkan sebarang provokasi yang boleh mencetuskan ketegangan dan pergaduhan," katanya ketika dihubungi di sini Sabtu.

Menurutnya, polis tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas terhadap penonton yang sengaja mencetuskan kekacauan sebelum, semasa atau selepas perlawanan itu.

Sementara itu, Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) Datuk Che Mat Jusoh berharap perlawanan itu nanti tidak akan dicemari dengan insiden seperti membaling objek seperti botol air ke arah pemain serta membawa mercun ke dalam stadium.

Perlawanan antara pasukan gergasi pantai Timur itu dianggap sebagai perlawanan pra final Piala FA.

Selepas perlawanan yang bakal menentukan juara Liga Super, Isnin ini, kedua-dua pasukan itu akan berentap semula pada perlawanan akhir Piala FA di Stadium Nasional Bukit Jalil, pada 11 Jun ini. - BERNAMA

Artikel Lain