suria

PETEH Harap Terengganu Juara Liga Super Isnin Ini

KUALA TERENGGANU: Kelab Penyokong Bolasepak Terengganu (Peteh) berharap skuad Penyu tidak mengambil mudah pertemuan dengan Kelantan Isnin ini kerana perlawanan itu menjadi titik penentuan pasukan mana yang layak dinobatkan sebagai juara Liga Super 2011.

Setiausahanya Wan Mohd Azmi Wan Ngah berkata pemain Terengganu perlu memberikan komitmen dan fokus yang tinggi pada perlawanan penting itu agar dapat merealisasikan impian untuk muncul juara berganda musim ini.

"Kami merayu peminat Terengganu dan Kelantan supaya menyaksikan perlawanan itu dengan semangat kesukanan dan tidak menimbulkan insiden yang tidak diingini," katanya ketika dihubungi Bernama di sini Sabtu.

Terengganu akan menentang Kelantan pada perlawanan Liga Super di Stadium Sultan Sultan Ismail Nasiruddin Shah di sini, Isnin ini.

Kedua-dua pasukan itu mempunyai baki tiga perlawanan untuk menutup tirai Liga Super musim ini.

Selain itu, kedua-dua pasukan gergasi pantai Timur itu akan berentap pada perlawanan akhir Piala FA di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 11 Jun ini.

Wan Mohd Azmi turut berharap penyokong dan peminat pasukan Terengganu akan memberi sokongan padu kepada pasukan serta menunjukkan tahap disiplin yang tinggi pada perlawanan itu.

"Jadikan perlawanan itu sebagai pertemuan anak beranak tanpa dicemari oleh unsur-unsur negatif," katanya.

Wan Mohd Azmi juga meminta semua penyokong dan peminat Terengganu supaya memakai baju hitam-putih pada hari perlawanan dan datang ke stadium lebih awal untuk mengelak kesesakan. - BERNAMA

Artikel Lain