suria

Skuad Polo Melaka Sasar Satu Emas

KUALA LUMPUR: Skuad polo air Melaka mensasarkan satu pingat emas menerusi saingan wanitanya pada temasya Sukan Malaysia ke-14 yang kini berlangsung di Pusat Akuatik Bukit Jalil, di sini.

Jurulatihnya Fan Kow Jan berkata sasaran itu bersandarkan potensi mereka yang dilihat sukar ditandingi atlet pasukan lain.

"Kita yakin pasukan wanita kita mampu untuk mengulangi kejayaan yang sama seperti yang telah dibuktikan pada Kejohanan National Age Group 2011 yang berlangsung pada April lepas, berbanding saingan lelaki pada temasya kali ini yang juga juara kejohanan April lalu.

"Peluang pasukan lelaki untuk unggul dilihat sengit kerana pasukan Selangor merupakan saingan kuat kita setakat ini," katanya kepada Bernama, di sini, Jumaat.

Beliau berkata pasukan lelaki Selangor yang membuat persediaan awal pasti tidak mahu melepaskan peluang bergelar juara sulung acara itu.

Fan berkata beliau menyandarkan harapan kepada empat atlet pelapis yang dilihat menyerlah dalam latihan dan beberapa kejohanan sebelum ini, iaitu Shirleen Khoo Mei Jee,16, Aileen Lim Zhixiang,18, Low Jia Yee, 14 dan Low Sheen Yee,19.

"Mereka merupakan ayam tambatan buat pasukan wanita Melaka dan saya yakin mereka bersama sembilan pemain lain mampu mencipta kemenangan pertama acara baru yang dipertandingkan pada temasya kali ini," katanya.

Turut membarisi skuad itu ialah Ng Chia Shyn, Samantha Keo Wan Tyn, Amanda Ng Shin Zhi, Fam Jia Yun, Goh Kah Sing, Lim Shirinnah, Luciana Lau Szu Teng, Yee Lu Huan dan pemain termuda yang baru berusia 11 tahun, Cheryl Khoo Minn Jee yang juga adik kepada Shirleen Khoo.-BERNAMA

Artikel Lain