suria

Skuad Polo Air Wilayah Persekutuan Dan Melaka Dakwa Alami Keracunan Makanan

KUALA LUMPUR: Walaupun terpaksa beraksi dalam keadaan kurang bertenaga akibat daripada keracunan makanan, skuad polo air lelaki Wilayah Persekutuan dan Melaka menang pada perlawanan peringkat kumpulan masing-masing yang berlangsung di Stadium Akuatik Bukit Jalil, Khamis.

Pada saingan tersebut, Wilayah Persekutuan berjaya menewaskan Pulau Pinang 11-4, manakala Melaka pula berjaya menumpaskan Perak dengan keputusaan 19-7.

Skuad polo air dari kedua-dua negeri tersebut mendakwa bahawa atlet mereka mengalami sakit perut dan cirit-birit akibat keracunan makanan ketika makan makanan yang disediakan di Perkampungan Sukan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi.

Pengurus skuad polo air Wilayah Persekutuan, Bernard Foong berkata tiga atlet lelakinya cirit-birit sebelum saingan bermula pagi tadi manakala lapan atlet wanitanya yang akan bertanding pada petang ini turut cirit-birit dan sakit perut.

"Saya sendiri dan beberapa pegawai sukan polo air lain juga tidak terkecuali terkena keracunan makanan," katanya kepada Bernama di sini, Khamis.

Foong berkata mereka terpaksa merujuk kepada pasukan perubatan dari Institut Sukan Negara (ISN) yang berada di perkampungan sukan bagi mengetahui kesihatannya walaupun keadaan mereka tidak serius.

Beliau menjelaskan bahawa hanya 11 yang terkena adalah kerana yang lain semuanya pulang ke rumah masing-masing setelah tamat latihan semalam dan tidak menetap di perkampungan sukan atas faktor pembelajaran.

"Kebanyakan daripada atletnya terdiri daripada pelajar tingkatan tiga dan lima yang akan menduduki peperiksaan PMR (Penilaian Menengah Rendah) ataupun SPM (Sijil Pelajaran Malaysia) pada tahun ini," katanya.

Sementara itu, jurulatih skuad polo air Melaka, Fan Kow Jan mendakwa bahawa seramai 10 anak buahnya iaitu masing-masing lima lelaki dan wanita turut cirit birit.

"Atlet mendakwa bahawa mereka mula rasa sakit perut selepas makan malam di perkampungan sukan dan salah seorang daripada atlet kami, Shirleen khoo muntah-muntah dan terpaksa mendapat rawatan pada pagi tadi," katanya.

Atlet polo air Melaka, Sung Jun Hao dan Rodney Tan berkata akibat daripada cirit-birit tersebut, prestasi mereka sedikit menurun walaupun menang dalam saingan peringkat kumpulan menentang Perak.

"Saya tidak dapat tidur nyenyak kerana selalu ke tandas dan kurang bertenaga ketika beraksi menentang Perak tadi. Ini sedikit sebanyak menjejaskan stamina dan konsentrasi," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain