suria

MSN Batal Penghantaran Tiga Pelari Pecut Wanita Ke Bulgaria

KUALA LUMPUR: Majlis Sukan Negara (MSN) memutuskan untuk tidak menghantar tiga pelari pecut wanita mengikuti latihan di Bulgaria meskipun disahkan negatif daripada ujian doping oleh Institut Sukan Negara (ISN).

Ketua Pengarah MSN Datuk Zolkples Embong berkata keputusan itu dibuat berdasarkan kewajaran kos kerana ia akan melibatkan perbelanjaan yang besar untuk menjalani latihan di luar negara.

Tiga atlet berkenaan ialah Siti Fatimah Mohamad, Siti Zubaidah Adabi dan Yee Yi Leng, yang merupakan pelari pasukan 4x100m negara.

"Kita hanya ada tiga pelari pecut dalam pasukan dan tidak wajar jika MSN menghantar mereka berlatih di luar negara," katanya kepada pemberita selepas melawat venue temasya Sukan Malaysia (SUKMA) di sekitar Lembah Klang, Khamis.

Sebelum ini enam atlet olaraga iaitu Nurul Sarah Abdul Kadir, Norjanah Hafizah Jamaluddin, Mohd Noor Imran, Siti Fatimah, Siti Zubaidah dan Yee dilaporkan melarikan diri daripada menjalani ujian doping di ISN.

Mengenai tuntutan oleh Presiden Kesatuan Olahraga Amatur Malaysia (KOAM) Datuk Seri Shahidan Kassim agar MSN membayar pampasan berhubung kos menghantar awal tiga atlet lain ke Bulgaria, Zolkples berkata MSN tidak akan melayan permintaan tersebut.

Katanya KOAM perlu menanggung sendiri kos tersebut memandangkan atlet Nurul Sarah, Norjaanah Hafifah dan Mohd Noor tidak dalam senarai yang diputuskan pada mesyuarat jawatankuasa bersama KOAM-MSN sebelum ini. - BERNAMA

Artikel Lain