suria

Singapura Tuan Rumah Sukan Sekolah Asean Ketiga 2011

SINGAPURA: Singapura akan menjadi tuan rumah Sukan Sekolah Asean (ASG) ke-3 dari 1 hingga 7 Julai ini.

ASG berobjektif menggalakkan perpaduan ASEAN menerusi sukan sekolah dan pada masa yang sama menyediakan peluang kepada atlet sekolah untuk menyerlahkan bakat kesukanan mereka di rantau ASEAN.

Kementerian Pendidikan dalam satu kenyataan hari ini menyatakan ini merupakan pertama kali Singapura menjadi tuan rumah Sukan Sekolah Asean.

Lebih 1,100 atlet pelajar dari tujuh negara anggota ASEAN - Brunei, Indonesia, Malaysia, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam - akan bertanding dalam 12 jenis sukan iaitu badminton, bola keranjang, golf, gimnastik, hoki, bola jaring, sepak takraw, renang, ping pong, tenis, padang dan balapan dan polo air (lelaki sahaja).

Untuk mengambil bahagian, atlet perlu berumur bawah 18 tahun dan pelajar sepenuh masa di negara anggota Asean yang mengambil bahagian dalam temasya ini.

Pertandingan akan diadakan di 13 venue di negara pulau ini.

Atlet dan pegawai akan ditempatkan di Perkampungan Sukan di Universiti Teknologi Nanyang.

Terdapat lebih 200 atlet pelajar dalam kontinjen Singapura bagi temasya kali ini.

Atlet dan pegawai akan turut serta dalam program kebudayaan dan pendidikan (CEP) semasa berada di Singapura yang bertujuan meningkatkan persefahaman dan interaksi antara kebudayaan.

Logo bagi Sukan Sekolan ASEAN ke-3 ialah obor dengan 10 lidah api, sebagai simbol bagi 10 negara anggota ASEAN.

Logo itu yang menggunakan warna ASEAN iaitu biru, merah, putih dan kuning, juga bercirikan kepala singa, sebagai melambangkan negara tuan rumah, Singapura. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain