suria

Persatuan Sukan Tradisional Diminta Daftar Dengan MSN

MELAKA: Persatuan sukan yang melibatkan sukan tradisional di Melaka diminta mendaftar dengan Majlis Sukan Negeri (MSN) bagi membolehkan mereka memperolehi bantuan yang disediakan kerajaan.

Pengerusi MSN Melaka Datuk Ab Rahaman Ab Karim berkata antara bantuan yang disediakan termasuk keperluan teknikal, peralatan dan kewangan.

"Antara sukan tradisional yang didapati mempunyai banyak persatuan di Melaka ialah gasing dan layang-layang," katanya kepada Bernama selepas Majlis Penyerahan Bendera Negeri Melaka sempena Sukan Malaysia Ke-14 oleh Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam di Seri Negeri, Ayer Keroh di sini, Isnin.

Ab Rahaman berkata kerajaan mahu sukan tradisional dipopularkan agar ia dapat menarik lebih ramai penyertaan sekaligus mengelakkan kepupusan sukan itu.

"Bila sudah maju, persatuan sukan tradisional boleh menganjurkan acara bertaraf kebangsaan atau antarabangsa yang boleh membantu mempromosikan Melaka," katanya.

Katanya persatuan sukan tradisional yang ingin mendaftar boleh datang ke pejabat MSN Melaka di Aras 5 Wisma Negeri di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka di Ayer Keroh di sini atau hubungi Melaka One Number Call Center di talian 06-3333333 untuk maklumat lanjut.

Sementara itu, Pengarah MSN Melaka Thomas Ong berkata pihaknya kini sedang memulihkan imej sukan snuker dan billiard yang sering dikaitkan dengan gejala negatif kepada sukan yang mampu memajukan golongan belia.

"Kita mahu pusat snuker dan billiard di Melaka bertukar daripada berteraskan hiburan kepada riadah dan latihan sukan itu. Langkah awal ke arah itu ialah mengawal ketat pusat itu daripada dijadikan pusat penyebaran gejala negatif," katanya.

Ong berkata pihaknya mahu menjadikan pusat itu bebas rokok dan menempatkan jurulatih bertauliah di pusat itu bagi melatih belia yang berminat mempelajari sukan berkenaan.

Katanya pihaknya akan bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan supaya menguatkuasakan pusat snuker dan billiard sebagai kawasan bebas asap rokok. - BERNAMA

Artikel Lain