suria

Melaka Hantar 301 Atlet Sertai Sukan Malaysia Ke-14 Di Kuala Lumpur

MELAKA: Melaka akan menghantar 301 atlet ke Sukan Malaysia ke-14 yang akan berlangsung di Kompleks Sukan Negara Bukit Jalil dan sekitar Kuala Lumpur dari 2 hingga 12 Jun ini.

Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam berkata atlet tersebut akan menyertai 18 daripada 19 acara sukan yang dipertandingkan kecuali acara mendayung.

"Kita sasarkan lapan pingat emas, dua pingat perak dan 17 pingat gangsa pada temasya kali ini," katanya pada Majlis Penyerahan Bendera Negeri Melaka kepada Ketua Kontinjen Melaka Datuk Ab Rahaman Ab Karim di Seri Negeri, Ayer Keroh di sini, Isnin.

Mohd Ali berkata Melaka menyasarkan dua daripada pingat emas itu dalam acara judo, dua daripada acara polo air dan satu pingat emas masing-masing melalui acara bola keranjang, berbasikal trek, silambam serta bina badan.

Katanya kerajaan Melaka akan memberi inisiatif sebanyak RM5,000 bagi pemenang pingat emas dalam acara berpasukan dan RM3,000 bagi pemenang pingat emas acara individu.

Bagi pemenang pingat perak inisiatif RM2,000 akan diberikan manakala RM1,000 diberikan kepada pemenang pingat gangsa.

"Bagi memastikan atlet beraksi cemerlang dan kebajikan mereka terjaga sepanjang kejohanan, kita adakan bapa angkat di mana setiap acara sukan yang disertai kita lantik seorang bapa angkat di kalangan wakil rakyat atau pegawai kerajaan negeri," katanya.

Beliau berkata bagi menjaga kebajikan atlet, kerajaan Melaka membelanjakan RM81,000 bagi memberikan elaun kepada atlet terlibat di mana separuh daripadanya akan diberikan sebelum atlet itu bertolak menyertai temasya tersebut.

Katanya atlet mewakili Melaka yang menyertai temasya itu akan mula bertolak ke perkampungan sukan di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi bermula Selasa.

Sementara itu, Setiausaha Persatuan Berbasikal Negeri Melaka (PBNM), Menhat Abd Rahman berkata persatuan itu menaruh harapan kepada pelumbanya Mohd Arfy Khairan beraksi cemerlang pada temasya tersebut.

"Kita harap 'ayam tambatan' kita (Mohd Arfy) mampu meraih emas menerusi acara kegemaranya iaitu 200 meter sprint dan beraksi cemerlang dalam dua lagi acara yang disertainya iaitu 1km dan keirin," katanya.

Mohd Arfy, 18 merupakan pelumba remaja negara yang kini berlatih di Australia dan memperoleh pencapaian yang membanggakan antaranya pingat gangsa acara keirin remaja lelaki pada Kejohanan Lumba Basikal Asia (ACC) 2010 di Velodrom Zayed, Sharjah, Emiriyah Arab Bersatu (UAE).

Melaka yang menjadi tuan rumah pada temasya Sukan Malaysia ke-13 menduduki tangga ketujuh dengan memungut 32 pingat emas, 31 pingat perak dan 38 pingat gangsa.

Temasya yang berlangsung antara 10 dan 19 Jun tahun lepas itu menyaksikan Terengganu muncul juara dengan memungut 47 pingat emas, 30 pingat perak dan 43 pingat gangsa sementara naib johan ialah Selangor dengan 43 emas, 43 perak dan 58 gangsa. - BERNAMA

Artikel Lain