suria

Real Pecat Valdano

REAL MADRID telah memecat salah seorang orang kanan mereka yang berpengaruh - Jorge Valdano (gambar) sekaligus memberi indikasi bahawa Jose Mourinho adalah personaliti penting dalam perancangan masa depan kelab berkenaan.

Jorge Valdano adalah pengurus besar Real Madrid dan sering kali berbalah dengan Mourinho dalam isu-isu perpindahan dan pembelian pemain baru.

"Kami telah memutuskan untuk menamatkan ikatan kontrak kami dengan Valdano," kata Presiden Real Madrid, Florentino Pérez, selepas mesyuarat lembaga pengarah semalam.

Perez menegaskan, pengalaman daripada musim yang baru berlalu ini memberi indikasi yang jelas akan keperluan untuk memberikan kuasa kepada jurulatih dalam menentukan hala tuju dan masa depan pasukan dan mengelak daripada sebarang percanggahan pendapat dengan pasukan pentadbiran.

"Saya tidak mahu menafikan betapa pedihnya keputusan yang terpaksa saya lakukan ini iaitu dengan menamatkan kontrak Jorge Valdano, tetapi pada masa yang sama saya tidak boleh membenarkan perasaan peribadi saya mengelabui keputusan untuk masa depan pasukan," ujar Perez lagi.

Beliau juga mengakui dua personaliti utama dalam pasukan Real Madrid ini tidak memiliki persefahaman yang diperlukan untuk membawa Real Madrid ke hadapan dan mengenepikan situasi itu adalah tidak praktikal dan tidak bertanggungjawab demi masa depan kelab itu.

Valdano sering membantah dan menunjukkan sikap tidak menyokong ke atas sebarang syor yang dikemukakan oleh Mourinho dalam soal mendapatkan pemain pilihan jurulatih itu khususnya selepas Karem Benzima dilanda kecederaan pada pertengahan musim lalu.

Akibatnya Real gagal mendapatkan pemain gantian yang setaraf dan mereka ketinggalan di belakang Barcelona.

Artikel Berikut

Artikel Lain