suria

Rasuah Bukan Punca Prestasi N. Sembilan Merudum - Azrai

SEREMBAN: Kemerosotan prestasi Negeri Sembilan dalam Liga Super tidak ada kaitan dengan unsur mengatur perlawanan sebaliknya faktor kecederaan yang menimpa barisan pemain utamanya, kata ketua jurulatih Mohd Azrai Khor Abdullah.

Sejak menjadi jurulatih dua bulan lepas, beliau mengakui tidak mendapat prestasi terbaik dari kesebelasan utama pasukan disebabkan masalah kecederaan dan hukuman kad kuning.

Katanya keadaan itu memaksa beliau membawa masuk empat pemain skuad Piala Presiden Mohd Khairul Ridzwan Othman, Fiqri Azwan Ghazali, Nor Hairi dan Abd Rahman Abd Ghani untuk membantu skuad Liga Super.

"Saya berharap sangat supaya empat pemain skuad Piala Presiden ini tidak dicemari dengan unsur rasuah," katanya kepada pemberita di pejabatnya, di sini, Jumaat.

Azrai berkata sekiranya empat pemain itu digantung untuk siasatan atau terbabit dengan kegiatan mengatur perlawanan dalam skuad Piala Presiden, maka keadaan pasukan Liga Super negeri akan bertambah parah.

Semalam, Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS) membuat laporan polis selepas percaya wujud unsur mengatur perlawanan dalam skuad Piala Presiden negeri sejak tahun lepas.

Azrai menegaskan prestasi merudum anak buahnya dalam saingan Liga Super disebabkan kecederaan pemain utamanya seperti Ahmad Fakri Saarani, Ahmad Aminuddin Shaharudin, Mohd Zaquan Adha Abdul Radzak dan beberapa pemain lain.

Beliau turut memuji tindakan berani PBNS dalam membuat laporan polis kerana mempercayai wujud unsur mengatur perlawanan oleh pemain dan individu di peringkat pengurusan pasukan Piala Presiden itu. -BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain