suria

Pertindihan Tarikh Bukan Halangan SIPMA Dianjurkan

KUALA LUMPUR: Pertindihan tarikh dengan penganjuran Sukan Malaysia bukan halangan bagi pengelola Sukan Institusi Pendidikan Malaysia (SIPMA) untuk meneruskan temasya sukan berkenaan.

"Walaupun tarikh penganjurannya bertindih dengan Sukan Malaysia di Kuala Lumpur, ia bukanlah satu masalah besar. SIPMA dan Sukan Malaysia menganjurkan jenis sukan yang berbeza dan tidak ada pertindihan acara sukan yang berlaku," kata Ketua Pengarah Jabatan Pengajian Politeknik, Md Nor Yusof.

Menurut beliau SIPMA yang akan diadakan pada 4 hingga 12 Jun ini akan mempertandingkan tujuh jenis sukan yang tidak dipertandingkan pada Sukan Malaysia Kuala Lumpur iaitu bola sepak, olahraga, hoki, skuasy, badminton, boling dan akuatik (renang).

Temasya Sukan Malaysia yang berlangsung dari 2 hingga 12 Jun pula melibatkan 19 acara sukan yang akan berlangsung di beberapa venue di ibu negara, Bangi dan Shah Alam.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis pra-pelancaran SIPMA dan pengenalan maskot, Leo oleh Timbalan Menteri Pengajian Tinggi 1 Datuk Dr Hou Kok Chung di Arena OCM, di sini Rabu.

Temasya sukan dwi-tahunan itu yang mula diperkenalkan pada 2005 melibatkan penyertaan tujuh pasukan -- Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM), Majlis Sukan Institut Pendidikan Guru Malaysia (MSIPG), Majlis Sukan Matrikulasi Malaysia (MSM), Majlis Sukan Universiti Malaysia (Masum), Majlis Sukan Institut Swasta (Masiswa), Majlis Sukan Politeknik Malaysia (MSPM) dan Majlis Sukan Kolej Komuniti (Maskom).

Menurut Md Nor, yang juga Yang Dipertua Majlis Sukan Politeknik Malaysia (MSPM), SIPMA terbuka kepada atlet pelajar berusia 23 tahun ke bawah.

"Semua atlet kebangsaan yang berdaftar di institusi pendidikan di negara ini juga layak untuk mengambil bahagian.

"SIPMA juga menjadi platform tambahan kepada atlet-atlet negara untuk mengasah bakat dan menilai prestasi semasa mereka, ia sebagai sebahagian daripada usaha kita untuk menggilap potensi mereka," katanya.

Temasya SIPMA itu, yang dianjurkan oleh Kementerian Pengajian Tinggi dan dikelolakan oleh MSPM, akan menghimpunkan lebih 1,600 atlet, pegawai dan sukarelawan.

Pada edisi sebelum ini, kontinjen daripada MSSM telah dinobatkan sebagai juara keseluruhan.-BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain