suria

Negeri Sembilan Sertai 16 Acara Sukan Pada Sukma 2011

SEREMBAN: Negeri Sembilan akan menyertai 16 daripada 19 acara sukan dipertandingkan pada Sukma 2011 yang akan berlangsung di Kompleks Sukan Negara Bukit Jalil dan sekitar Kuala Lumpur dari 2 hingga 12 Jun ini, kata Ketua Kontinjen Fouzee Abdul Aziz.

Beliau berkata acara berkenaan adalah akuatik (polo air dan renang berirama), lawan pedang, judo, silambam, tenis, berbasikal, bina badan, bola tampar pantai, kriket, bola baling, kabbadi, ragbi, bola jaring, ping pong, bola keranjang dan futsal.

"Pada Sukma kali ini, kita tidak menyertai tiga acara sukan yang dipertandingkan iaitu kenu, sofbal dan mendayung," katanya kepada Bernama di sini, Selasa.

Katanya kontinjen Negeri Sembilan pada Sukma 2011 mengandungi seramai 228 atlet, 64 pegawai dan 34 pegawai urus setia.

Katanya kontinjen Negeri Sembilan akan bergerak ke perkampungan sukan di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi secara berperingkat-peringkat dengan didahului atlet akuatik, polo air, futsal, judo dan tenis pada 31 Mei ini.

Fouzee, yang juga pengarah Majlis Sukan Negeri, berkata Negeri Sembilan menyasarkan kutipan 19 pingat emas pada temasya sukan, yang kini diadakan setiap tahun.

Pada Mei tahun lepas, Jawatankuasa Kabinet Mengenai Pembangunan Sukan (JKPS) meluluskan penganjuran Sukma setiap tahun bermula tahun ini, dengan Majlis Sukan Negara (MSN) di Kuala Lumpur menganjurkannya pada tahun ganjil manakala negeri-negeri akan menjadi tuan rumah pada tahun genap. - BERNAMA

Artikel Lain