suria

MSN Minta Penjelasan Daripada KBS

KUALA LUMPUR: Majlis Sukan Negara (MSN) akan meminta Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mendapatkan penjelasan daripada kerajaan berhubung peruntukan khas bagi pembangunan sukan di negeri-negeri.

Ketua Pengarah MSN Datuk Zolkples Embong berkata jika peruntukan khas itu wujud, negeri-negeri boleh menggunakannnya bagi membiayai kontinjen masing-masing untuk menyertai Sukan Malaysia yang kini diadakan setiap tahun.

"Pada pembentangan Bajet tahun lepas, ada disebut mengenai peruntukan khas bagi tujuan pembangunan sukan di negeri-negeri. Tetapi saya tidak pasti statusnya. MSN akan minta KBS dapatkan penjelasan," katanya kepada pemberita di sini, Rabu.

Zolkples sebelum itu menghadiri majlis undian melibatkan acara-acara berpasukan pada temasya Sukan Malaysia ke-14 yang akan berlangsung di sekitar Lembah Klang dari 2 hingga 12 Jun ini.

Sukan Malaysia sebelum ini diadakan dua tahun sekali tetapi mulai tahun ini diadakan setiap tahun, berselang seli dianjurkan oleh MSN dan negeri-negeri.

MSN memperuntukkan RM8.5 juta bagi menganjurkan temasya kali ini yang melibatkan 3,336 atlet untuk bertanding dalam 19 sukan pilihan bagi merebut 1,444 pingat yang ditawarkan, melibatkan 17 venue di sekitar Lembah Klang.

Zolkples berkata MSN cuba untuk meminimumkan kos penganjuran dengan pelbagai cara termasuk meminjam peralatan sukan dari persatuan-persatuan dan daripada tuan rumah Sukan Malaysia yang lepas seperti dari Melaka (2010), Terengganu (2008) dan Kedah (2006).-BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain